Penjenayah ditembak mati

0
BUKTI: Dev (dua kiri) dan Khoo (tiga kiri) menunjukkan senapang patah diubah suai serta senjata tajam digunakan suspek menyerang polis dalam serbuan awal pagi semalam.

BUKTI: Dev (dua kiri) dan Khoo (tiga kiri) menunjukkan senapang patah diubah suai serta senjata tajam digunakan suspek menyerang polis dalam serbuan awal pagi semalam.

SEMBUNYI: Rumah terbiar inilah menjadi tempat persembunyian kedua-dua suspek tersebut.

SEMBUNYI: Rumah terbiar inilah menjadi tempat persembunyian kedua-dua suspek tersebut.

Polis tembak mati dua penjenayah paling dikehendaki di Miri awal pagi semalam.

Oleh Clare CInderella //

MIRI: Polis berjaya menembak mati dua penjenayah paling dikehendaki dipercayai aktif dalam rompakan bersenjata di sini dan mendalangi sebanyak 16 kes sekitar bandar raya ini sejak tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar mengesahkan kedua-dua suspek ditembak mati dalam serbuan sepasukan polis daripada D9 dan D8 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuching bersama JSJ Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri di sebuah rumah terbiar di Luak Bay di sini jam 1 pagi semalam.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Dev berkata keduadua penjenayah ditembak itu merupakan saki-baki kumpulan diburu polis selepas melakukan intipan ke atas sebuah rumah yang ditinggalkan di Luak Bay di sini jam 12.15 tengah malam, 16 Oktober.

“Jam 1.00 pagi, keputusan dibuat untuk menyerbu rumah itu dan pasukan polis yang memakai baju kalis peluru mengarahkan suspek-suspek dipercayai berada di dalam rumah membuka pintu.

“Apabila tiada respons, polis melakukan serbuan secara taktikal dan sebaik sahaja polis berjaya merempuh masuk ke dalam rumah salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arah polis manakala seorang lagi suspek cuba menyerang dengan parang,” katanya.

“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri dan menghentikan ancaman.

Kedua-dua suspek berjaya ditumpaskan,” tambah beliau.

Katanya sepucuk senapang patah dan sebilah parang dirampas dan pemeriksaan lanjut polis di dalam rumah terbiar itu menemui beberapa harta disyaki disamun termasuk beberapa harta kes terbaharu.

“Kedua-dua suspek lelaki dan berusia 30-an bersama dua suspek termasuk seorang wanita ditahan sebelum ini, disyaki dalang di sebalik 16 kes samun yang menyasarkan rumah-rumah di Bakam dan Luak sejak tahun lalu.

“Empat kes berlaku pada 2015 manakala 12 kes tahun ini. Berikutan kes-kes samun itu menimbulkan kegusaran masyarakat, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor menubuhkan satu pasukan ‘Task Force’ (diketuai Dev) memberkas kumpulan ini,” jelasnya.

Dalam kes pada 15 Oktober lalu jam 3.10 pagi, tiga perompak bertopeng dan bersenjatakan parang memecah masuk sebuah rumah di Fabulous Garden.

Ketika kejadian, pasangan suami isteri dan dua anak mereka berusia lima dan 11 tahun berada di dalam rumah.

Salah seorang suspek meletakkan parang di leher isteri mangsa sambil mengugut mereka agar memberi barang berharga termasuk televisyen skrin rata 40-inci, beberapa komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan wang tunai dengan jumlah kerugian dianggarkan RM23,000.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis D9, D8 daripada IPK dan Jabatan Siasatan Jenayah Miri melakukan serbuan di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Taman Jelita jam 5 petang pada hari yang sama.

Polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun dalam serbuah tersebut.

“Kedua-dua mereka adalah pekerja asing dan ketika serbuan itu polis merampas beberapa barangan dari rumah termasuk TV skrin rata 40 inci, komputer riba, jam tangan dan wang tunai,” katanya.

Dev berkata, polis tidak berhenti di situ sebaliknya terus memburu saki-baki kumpulan terbabit sehingga membawa kepada serbuan ke atas kedua-dua suspek di sebuah rumah terbiar di Luak Bay di sini.

Ditanya mengenai identiti kedua-dua suspek ditembak mati itu, Dev berkata sehingga kini identiti kedua-dua suspek tidak dapat disahkan disebabkan kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, polis mengesyaki kedua-dua mereka adalah warga asing.

Dev mendedahkan kumpulan itu merompak lebih RM200,000 dalam bentuk pelbagai barangan termasuk wang tunai dalam 16 kes.

“Dengan penangkapan kumpulan ini (termasuk dua ditangkap lebih awal), polis percaya menyelesaikan semua 16 kes di Miri dan bagi pihak Pesuruhjaya Polis Negeri, saya ingin mengucapkan tahniah kepada D9, D8 daripada IPK dan Jabatan Siasatan Jenayah Miri atas kejayaan ini,” katanya.

Turut hadir Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat dan Ketua JSJ Miri DSP Nixon Joshua Ali.