Program merakyatkan perkhidmatan awam diperluas ke seluruh daerah

0

TENOM: Program merakyatkan perkhidmatan awam terutamanya aktiviti-aktiviti turun padang bagi menyelami hasrat, mendapatkan maklum balas dan memenuhi keperluan-keperluan rakyat perlu diperluaskan di seluruh daerah di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Panglima Radin Malleh berkata, melalui usaha-usaha jentera-jentera perkhidmatan awam menganjurkan program tersebut, masyarakat setempat akan berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan dengan mudah, cepat dan menjimatkan masa mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat dan Program Mobile CTC serta Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu anjuran Biro Pengaduan Awam Sabah dan Perbendaharaan Malaysia Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tenom yang diadakan di padang pekan di sini, kelmarin.

Katanya, maklum balas yang diperolehi kerajaan daripada pelbagai aduan dan cadangan oleh orang ramai melalui Program Mobile CTC akan menjadi input berguna dalam penggubalan dan pelaksanaan program-program pembangunan akan datang selain mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan persefahaman di antara kerajaan dan rakyat.

Tambah beliau, Program MESRA dan Program Mobile CTC merupakan satu program gabungan yang dianjurkan oleh Biro Pengaduan Awam Sabah (BPA Sabah), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah, Kementerian Kewangan Malaysia dan Pejabat Daerah Tenom.

“Program gabungan ini merupakan salah satu aktiviti ‘turun padang’ oleh jentera-jentera kerajaan untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai melalui Kaunter Aduan, Kaunter Perkhidmatan dan Kaunter Pameran yang diadakan oleh pelbagai kementerian/ jabatan/agensi berkenaan yang dijemput oleh penganjur untuk mengambil bahagian dalam program ini yang berlangsung dari 14 sehingga 15 Oktober,” jelasnya.

Katanya lagi, Mobile CTC adalah salah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy – NBOS) dan merupakan himpunan pelbagai perkhidmatan bergerak Kerajaan merentasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Mobile CTC disasarkan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang tiada akses yang mudah kepada perkhidmatan-perkhidmatan utama kerajaan.

Oleh yang demikian katanya, kerajaan berhasrat mengubah kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan membawa perkhidmatan-perkhidmatan ini (yang ada ditawarkan di UTC & RTC) ke kawasan pedalaman melalui Mobile CTC.

Katanya, Kementerian Kewangan melalui Unit Strategi Nasional (NSU) telah diamanahkan untuk menyelaraskan penubuhan dan pelaksanaan program Mobile CTC yang  dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang pada 1 Mac 2013.

Tegas Radin yang juga wakil rakyat Melalap, penganjuran program ini membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya dan pelaksanaan pelbagai penambahbaikan yang bersesuaian juga giat dilakukan oleh kerajaan demi memenuhi ekspektasi-ekspektasi rakyat berbilang kaum, agama dan kebudayaan serta sektor swasta berkenaan.

Pada masa sama, beliau yakin pendekatan program ini yang yang julung kali dijalankan di daerah ini dalam bentuk karnival akan menggalakkan penglibatan ramai pengunjung ke program ini pada masa akan datang.