JKDM pantau syarikat perniagaan belum daftar GST

0
BERTUAH: Janathan (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada Maraini Lot yang memenangi sebuah televisyen LED 40 inci pada majlis itu.

BERTUAH: Janathan (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada Maraini Lot yang memenangi sebuah televisyen LED 40 inci pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Pemantauan berterusan sentiasa dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah bagi mengenal pasti syarikat perniagaan yang masih belum mendaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah JKDM Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada gerai-gerai perniagaan.

Menurutnya masih ramai dalam kalangan peniaga terutama yang baharu memulakan perniagaan tidak memahami keperluan untuk mendaftar GST.

“Jika mereka memperolehi pendapatan sehari lebih RM500, syarikat perniagaan terbabit wajib untuk mendaftar GST.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya mereka didapati layak tetapi masih tidak mendaftar GST,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Jom Minta Resit GST di sini, kelmarin.

Janathan berkata, setakat ini sebanyak 23,013 pendaftaran GST direkodkan di seluruh Sabah.

Daripada jumlah itu jelasnya, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 12,764 pendaftaran diikuti Tawau sebanyak 3,634 dan Sandakan sebanyak 3,499 pendaftaran.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengingatkan para peniaga di kawasan luar bandar agar mendaftar GST sekiranya berkelayakan.

“Kemajuan sesuatu syarikat itu tidak semestinya berdasarkan lokasi perniagaan mereka di kawasan bandar atau luar bandar.

“Selagi jumlah pendapatan yang diperolehi mencapai tahap yang diwajibkan, mereka perlu mendaftar GST,” katanya.