Kerajaan optimis perangi jenayah

0
OPTIMIS: Zakaria memalu gong sebagai simbolik perasmian Program Mesej Dari Penjara di Dewan ILP Sandakan.

OPTIMIS: Zakaria memalu gong sebagai simbolik perasmian Program Mesej Dari Penjara di Dewan ILP Sandakan.

SANDAKAN: Kerajaan optimis memerangi jenayah secara menyeluruh di mana langkah ini akan dapat memberi impak berupa peningkatan rasa selamat oleh rakyat selain membolehkan negara berada dalam kalangan negara yang selamat untuk pelancongan, pelaburan dan perniagaan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, ia kerana jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah akan mempengaruhi kualiti hidup rakyat sekali gus memberi kesan kepada ketiga-tiga sektor berkenaan.

“Jenayah hari ini semakin kompleks dan negara kita juga tidak terlepas daripada ancaman antarabangsa kerana taktik yang digunakan pelbagai bentuk,” katanya ketika berucap merasmikan Program Mesej Dari Penjara di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gum-Gum berkata, kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi juga wujud kerana ia menyumbang kepada jenayah siber.

Katanya, tidak dinafikan perbuatan jenayah didorong oleh beberapa faktor antaranya desakan hidup, keruntuhan institusi kekeluargaan dan persekitaran yang kurang selesa.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada alasan untuk mengizinkan perbuatan itu, sebaliknya ia wajib dibasmi agar jenayah yang mencemarkan kedaulatan negara dapat ditangani dengan sebaiknya.

Pada majlis itu, Zakaria turut mengingatkan golongan muda terutama pelajar remaja agar tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tidak sihat dan sentiasa peka terhadap rakan sebaya agar tidak terpengaruh dengan perbuatan jenayah.

“Seboleh-bolehnya, golongan muda tidak menghabis masa di tirai besi (penjara), kerana mereka ini adalah aset negara pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta sokongan masyarakat agar sentiasa memberikan sumbangan bagi tujuan membantu bekas penghuni dalam membina jati diri.

“Kita perlu menerima mereka kembali ke pangkuan masyarakat. Bantu mereka ke jalan baik dan berikan kerjasama kepada mereka,” katanya sambil menambah, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada kerja pemulihan dan kerja masyarakat.

Beliau juga menyeru agar syarikat swasta atau sektor korporat serta masyarakat turut sama berkongsi tanggungjawab sosial dalam menjayakan usaha pemulihan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh pihak Penjara Malaysia di Sabah.