KPM kecewa insiden campak ular ujian bina diri APM

0

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan kecewa dengan insiden mencampak ular ke dalam kolam bagi ujian bina diri murid oleh jurulatih Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya Datuk P. Kamalanathan berkata ia merupakan kes pertama seumpamanya malah tidak sepatutnya berlaku kerana guru pengiring telah memaklumkan kepada jurulatih berkenaan supaya tidak memasukkan haiwan tersebut.

“Walaupun jurulatih APM mengatakan ular itu tidak berbisa namun itu bukan isunya sebab tindakan tersebut boleh menimbulkan trauma kepada murid-murid berkenaan.

“Sebelum ini memang ada latihan dalam air tetapi tidaklah sampai menggunakan haiwan bagi modul tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, di sini semalam.

Kamalanathan diminta mengulas mengenai rakaman video insiden itu yang tersebar luas sehingga menerima kritikan netizen apabila beberapa murid menangis dan menjerit-jerit setelah dicampak ular semasa mereka menjalani ujian tersebut.

Beliau berkata sekolah yang terlibat juga telah diminta menghubungi ibu bapa murid-murid berkenaan bagi memberi penjelasan lanjut mengenai isu itu selain kaunselor sekolah turut diarah mengadakan sesi kaunseling dengan murid-murid terlibat bagi mengelakkan perasaan trauma berpanjangan.

“KPM harap kes berkenaan dapat disiasat secara lebih mendalam oleh APM kerana kita tak mahu insiden sama berulang pada masa depan,” katanya.

Rakaman video itu turut memperlihatkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah murid untuk menguji keberanian mereka.

Sebanyak 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di pekarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

Berikutan insiden itu, APM Perak semalam memaklumkan empat jurulatih termasuk pembantu jurulatih yang terlibat dalam modul berkenaan sedang disiasat berhubung tindakan mereka. — Bernama