77% usahawan siswazah catat peningkatan jualan tahunan: MITI

0

Kajian dapati 16.5% berjaya kembang perniagaan eksport ke luar negara

KUALA LUMPUR: Satu kajian impak yang dijalankan Bank Perusahaan Kecil Dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) menunjukkan 77 peratus usahawan di bawah program Tabung Usahawan Siswazah mencatat peningkatan jualan tahunan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kajian itu juga menunjukkan 16.5 peratus daripada mereka berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka outlet dan cawangan atau mula mengeksport barangan ke luar negara.

Menurutnya, kejayaan itu hasil daripada pelbagai bantuan dan pembiayaan melalui pelbagai kementerian, termasuk MITI melalui dua agensinya, iaitu Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan SME Bank.

“Hasil daripada dasar dan program dilaksanakan, sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar telah meningkat kepada 36.3 peratus berbanding 32.2 peratus pada 2010,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Ahmad menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasan Malek (UMNO-Kuala Pilah) mengenai status usahawan IKS yang dibantu kerajaan melalui pelbagai dana dan pinjaman untuk melahirkan usahawan yang mampu bersaing di pasaran tempatan dan asing.

Katanya, tahun lepas kerajaan membelanjakan RM8.14 bilion untuk melaksanakan 170 produk pembangunan yang telah dan sedang memberi manfaat kepada 593,008 PKS.

Untuk menyepadukan usaha pembangunan IKS, kerajaan telah mewujudkan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) untuk menyelaraskan usaha pembangunan IKS.

Ahmad berkata, sejumlah RM2.1 bilion pembiayaan telah diluluskan SME Bank mulai Januari hingga Ogos tahun ini bagi mambantu lebih 891 usahawan.

Katanya, SME Bank juga meluluskan pembiayaan yang tinggi iaitu 84.3 peratus tahun lepas berbanding 79.3 peratus oleh bank komersil bagi tempoh yang sama.

Sejak ditubuhkan pada 2005, katanya, SME Bank telah meluluskan pembiayaan RM25.1 bilion kepada 14,716 usahawan dengan purata RM2.3 bilion setahun.

Menjawab soalan tamabahan Hasan mengenai jumlah PKS Bumiputera yang telah berjaya dan status mereka sekarang, Ahmad berkata, daripada 645,000 PKS di seluruh negara, 37 peratus adalah Bumiputera.

Daripada jumlah itu, katanya 88 peratus adalah bersaiz mikro iaitu mempunyai lima pekerja dan ke bawah dan pendapatan tidak melebihi RM300,000 setahun.

“Pelbagai usaha lagi perlu dijalankan untuk memastikan PKS Bumiputera ini meningkat  daripada mikro kepada kecil dan sederhana. Jadi, usaha MITI perlu diteruskan untuk memastikan usahawan Bumiputera terus maju,” katanya. — Bernama