Bajet 2017 untuk pastikan ekonomi kekal cergas: PM

0

Komited lebih berhemah, kreatif dalam mengoptimumkan perbelanjaan dan memastikan penyampaian kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Bajet 2017 akan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan asas-asas ekonomi negara kekal cergas dan kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kenyataan diterbitkan dalam laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam, Najib berkata inti pati dalam bajet itu, akan termasuk dasar mengenai sasaran-sasaran defisit, langkah-langkah untuk memacu aktiviti ekonomi, serta usaha dalam memastikan sistem kewangan jangka panjang yang sihat.

“Kami komited untuk menjadi lebih berhemah dan kreatif dalam mengoptimumkan perbelanjaan, untuk memastikan penyampaian kepada rakyat. Dan kami komited menyediakan bajet yang komprehensif, inklusif yang akan mengotakan janji-janji kami kepada rakyat,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan turut menyangkal andaian daripada beberapa pengulas bahawa bajet tahun ini akan menjadi bajet ‘Pilihan Raya Umum’.

“Ini adalah bajet komitmen. Pihak lain mungkin mengutamakan faedah politik jangka pendek terlebih dahulu, tetapi kerajaan ini tidak akan berbuat demikian,” tegas perdana menteri.

Mengambil perhatian bahawa pada tahun ketika ekonomi-ekonomi maju dijangka mencatatkan pertumbuhan hanya 1.6 peratus, ekonomi Malaysia berada di landasan untuk tumbuh antara 4 dan 4.5 peratus, perdana menteri berkata, langkah-langkah diperkenalkan dalam bajet tahun lepas telah membantu memastikan ekonomi kekal cergas dan terus mencatatkan pertumbuhan.

Bagi tahun ini, katanya bajet akan terus memastikan petunjuk ekonomi – seperti kadar inflasi, kadar pertumbuhan dan kadar hutang – kekal kukuh dan cergas, mencerminkan asas-asas teras ekonomi.

“Di sebalik tekanan fiskal, inflasi telah dipastikan kekal pada kadar rendah, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya berada dalam keadaan lebih baik ketika ini berbanding setahun lalu. Malah, kita kini adalah negara berpendapatan sederhana tinggi.

“Kami akan terus mengotakan janji-janji kami kepada rakyat dalam cara yang adil dan inklusif. Kami berada di landasan yang betul, dengan ekonomi dijangka bertambah baik lagi pada 2017 dengan pertumbuhan dijangka meningkat kepada 5 peratus,” katanya.

Pada masa sama, Najib berkata kerajaan sedar bahawa terdapat pelbagai cabaran yang perlukan perhatian segera. — Bernama