Bekalan minyak masak di Pahang mencukupi: KPDNKK

0
PERIKSA: Alwi (depan) bersama pegawainya memeriksa bekalan minyak masak di pasar raya TMG Mart Sdn. Bhd di Pahang semalam. — Gambar Bernama

PERIKSA: Alwi (depan) bersama pegawainya memeriksa bekalan minyak masak di pasar raya TMG Mart Sdn. Bhd di Pahang semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang memberi jaminan bekalan minyak masak di negeri itu mencukupi.

Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata kuota bekalan minyak untuk negeri itu adalah sebanyak 5,000 tan metrik sebulan berbanding hanya 3,300 tan metrik kegunaan penduduk negeri berkenaan.

“Terdapat dua kilang pemprosesan minyak, 13 pembungkus dan 28 pemborong di seluruh negeri ini.

“Berdasarkan rekod ini, tidak timbul soal kekurangan bekalan minyak masak di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan bekalan minyak masak di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan kekurangan bahan tersebut seperti yang tersebar dalam media sosial sehingga orang ramai melakukan pembelian panik.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan mana-mana pemborong dan peruncit tidak menyembunyikan bekalan berkenaan susulan terdapat viral yang menyatakan harga minyak masak akan naik.

Katanya harga minyak masak di pasaran masih kekal setakat ini dan belum ada sebarang laporan rasmi yang menyatakan harga minyak masak di pasaran akan naik.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Tunas Manja Group (TMG) Bhd, Indera Mahkota James Low berkata pasar raya tersebut menyediakan 1,000 kampit minyak masak sehari berbanding purata permintaan sehari hanya melebihi 500 kampit.

“Apa yang saya lihat, hari ini terdapat pengguna telah membuat pembelian lebih daripada biasa.

“Ada pengguna hari ini yang membeli minyak masak antara lapan dan 10 kampit seorang,” katanya sambil menunjukkan minyak masak di pasar rayanya masih banyak dan mencukupi. — Bernama