Detik penuh mendebarkan buat Tujunokala

0

Landas Mukah bakal dinobat juara LSRM jika raih kemenangan pada aksi terakhir liga

// Oleh Watt Zacchaeus //

DEBARAN: Nasib Pasukan Tellian Tujunokala hanya bergantung kepada perlawanan antara Landas Mukah dan Press Metal GTR pada petang ini untuk ditabalkan johan LSRM 2016.

DEBARAN: Nasib Pasukan Tellian Tujunokala hanya bergantung kepada perlawanan antara Landas Mukah dan Press Metal GTR pada petang ini untuk ditabalkan johan LSRM 2016.

MUKAH: Pasukan Tellian Tujunokala telah membuktikan kemampuan sebenar mereka untuk bersaing dalam Liga Setia Raja Mukah (LSRM) 2016 musim ini.

Setakat ini, mereka telah menduduki tempat teratas dan mendahului dari segi kutipan mata dengan 25 mata serta telah meninggalkan pasukan Landas Mukah yang memperolehi 24 mata.

Namun, Landas Mukah masih lagi mempunyai satu baki perlawanan sebelum liga menutup tirainya pada 21 Oktober (petang ini).

“Tahniah kepada semua pemain pasukan Tellian Tujunokala dan para pegawai yang terlibat serta tidak lupa kepada penyokongpenyokongnya yang tidak kenal penat memberi sokongan padu agar pasukan mereka beroleh kemenangan demi kemenangan.

“Melalui 10 perlawanan menentang pasukan-pasukan yang terlibat dalam saingan LSRM kali ini, pasukan dari Kampung Tellian ini hanya mengalami satu kekalahan iaitu tewas kepada pasukan IPD-M FC (0-1).

“Namun begitu, pasukan ini memang hebat di mata saya dan mereka saling berusaha dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi seperti yang kita sama-sama harapkan sebelum menyertai kejohanan ini,” kata Pengerusi Kelab Rekreasi Tellian Dagen Daya (Tujunokala) Sabastian Zaini Jeraiee ketika ditemui selepas meraikan kemenangan 3-2 ke atas Daro FC, Isnin lepas.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Tellian Tujunokala telah melengkapkan jadual perlawanan (perlawanan ke-10) sekali gus memintas Landas Mukah dengan kelebihan satu mata sahaja.

Gol-gol kemenangan pasukan Tellian Tujunokala telah dijaringkan oleh Wed Jhon Darimi pada minit ke-58, Leornard William (penalti) pada minit ke-77 dan gol kemenangan dihasilkan oleh pemain veteran Henry Selahat pada minit ke-85.

Manakala gol-gol pasukan Daro FC telah dihasilkan pada minit ke-30 oleh Mohamad Saiful Satar dan Azila Zad pada minit ke-61.

Bermakna ketika ini, Skuad Tellian Tujunokala telah berada di persada liga dengan mengutip 25 mata manakala Landas Mukah telah mengumpul 24 mata.

Antara saingan sengit dua pasukan ini (Tellian Tujunokala dan Landas Mukah), penentuan siapa yang akan menjulang Piala LSRM 2016 adalah bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir pasukan Landas Mukah yang akan menentang Press Metal GTR pada petang ini (21 Oktober).

Pasukan Tellian Tujunokala cuma menunggu keputusan melalui perlawanan yang melibatkan pasukan Landas Mukah sahaja lagi untuk menentukan mereka layak muncul juara atau menduduki tempat kedua.

Jika Landas Mukah kalah kepada Press Metal GTR pada perlawanan petang ini bermakna Skuad Tellian muncul juara.

Namun, jika pasukan bimbingan Jeremy Loi ini seri ataupun bertindak cemerlang dengan kemenangan bermakna Landas Mukah muncul juara pada LSRM 2016 tahun ini.

Jawatankuasa pengelola kejohanan LSRM 2016 menyediakan hadiah berbentuk piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi pasukan yang muncul juara.

Pasukan yang muncul naib juara bakal menerima sebuah piala, pingat dan wang tunai RM2,500.

Manakala kedudukan tempat ketiga akan membawa pulang sebuah piala, pingat dan wang tunai RM1,000.

Selain itu, Anugerah Pasukan Terbaik (Fair Play) akan memenangi hadiah berupa trofi dan wang tunai RM500 manakala Anugerah Penjaring Terbanyak akan menerima trofi dan wang tunai RM200.

Majlis penyampaian hadiah dan penutupan rasmi LSRM 2016 akan diadakan pada malam esok (22 Oktober) di Kingwood Resort Hotel di sini.

Kejohanan LSRM yang disertai sebanyak 11 pasukan itu akan menutup tirai kejohanan pada 22 Oktober ini (malam esok) di mana ia telah bermula sejak 20 Ogos lalu.