Rakyat harap Bajet 2017 bantu naik taraf kehidupan

0

JOHOR BAHRU: Pelbagai reaksi yang diberikan masyarakat menjelang Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Majoriti rakyat berharap pengumuman bajet ini dapat memberi banyak manfaat untuk mereka menambah baik taraf kehidupan terutama dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

Seorang kakitangan bank Fauzi Ahmad Musa, 35, ketika ditemui berkata beliau berharap bajet kali ini dapat memberi fokus kepada isu perumahan.

“Kerajaan diharap memberikan penekanan kepada isu perumahan termasuk membantu belia untuk membeli rumah pertama mereka,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan sekitar bandar raya Johor Bahru di sini semalam.

Seorang pekerja pasar raya Nursuhaida Mahmud, 39, pula berharap harga rumah dapat dikurangkan bagi memudahkan proses membeli rumah.

“Saya harap Bajet 2017 ini kerajaan dapat kurangkan harga bagi rumah mampu milik khususnya untuk golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Ini sekali gus memudahkan golongan ini dapat memiliki rumah sendiri, katanya.

Selain itu, kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos barangan juga menjadi dilema buat rakyat.

Ada juga mengharapkan agar kerajaan mengumumkan peruntukan khas atau inisiatif untuk meringankan beban.

Bagi J. Selva Kumar, 40, kerajaan diharap dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan miskin.

“Saya lihat keadaan sekarang, golongan miskin antara yang terbeban dengan ekonomi yang tidak menentu, jadi penting untuk kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu rakyat,” katanya.

Seterusnya, Liew Boon Ween, 32, pula berharap kerajaan dapat memberi manfaat yang lebih kepada rakyat termasuk mengurangkan cukai pendapatan.

“Saya harap cukai pendapatan dapat dikurangkan serta kerajaan diharap dapat memulihkan ekonomi semula,” katanya. — Bernama