Beri fokus terbaik malam ini

0

Oleh Harry Ilias//

GIGIH: Pemain-pemain Sarawak gigih menjalani latihan sebagai persiapan melayan kunjungan PDRM pada aksi terakhir Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini.

GIGIH: Pemain-pemain Sarawak gigih menjalani latihan sebagai persiapan melayan kunjungan
PDRM pada aksi terakhir Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini.

KUCHING: Pengendali Sarawak, David Usop menuntut semua pemainnya memberi fokus terbaik apabila melayan kunjungan skuad ‘The Cops’ (Polis Diraja Malaysia) pada aksi terakhir kempen Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini.

Menurut David, meskipun kelebihan memihak kepada mereka beraksi di laman sendiri ini bukan alasan untuk semua pemain bersikap semberono sehingga menjejaskan peluang meraih kemenangan mutlak.

“Kita hanya memerlukan seri untuk kekal dalam kempen Liga Super namun saya mahukan skuad kita mencapai kemenangan mutlak menentang PDRM malam esok (malam ini),” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Negeri di sini semalam.

David berkata, beliau tahu bukan mudah buat anak-anak buahnya mencapai kemenangan kerana PDRM adalah lawan yang hebat malah mereka juga memerlukan kemenangan untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

“Kita tidak rela keciciran mata dan amat penting untuk semua pemain kekal fokus dan meningkatkan momentum untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan kita (Sarawak),” katanya.

Menurut David, kemenangan malam ini bukan sahaja penting untuk menyelamatkan Sarawak dalam saingan Liga Super tahun depan sebaliknya tiga mata tersebut akan menjadi ‘buah tangan’ istimewa kepada Exco baharu dan lama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) musim ini.

“Kemenangan malam ini akan menjadi hadiah perpisahan istimewa buat Exco lama FAS dan bagi menyambut kedatangan Exco baharu.

“Sehubungan itu, saya tidak mahu semua pemain tidak melepaskan peluang keemasan untuk meraih tiga mata penuh bagi menjamin kedudukan kita dalam Liga Super 2016 ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Skuad Sarawak sedikit ceria apabila penyerang import, Junior Aparecido dilaporkan dapat diturunkan malam ini.

“Ya, beliau mungkin dapat bermain malam esok (malam ini) namun bukan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, pemain-pemain lain dalam keadaan ‘OK’ dan dapat diturunkan,” katanya.