Mensejahterakan rakyat

0
BAJET 2017: Najib dan Ahmad Zahid menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2017 selepas pembentangan Bajet 2017 di Parlimen petang semalam. — Gambar Bernama

BAJET 2017: Najib dan Ahmad Zahid menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2017 selepas pembentangan Bajet 2017 di Parlimen petang semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membentangkan Bajet 2017 dengan memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited melaksanakan bajet bertanggungjawab melalui perbelanjaan berhemah untuk merangkumi semua segmen rakyat.

“Bajet ini bukanlah digubal bagi kepentingan atau berlegar kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja, namun direkayasa, bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Antara segmen yang memperoleh manfaat dalam Bajet 2017 ialah penjawat awam yang kini jumlahnya mencecah 1.6 juta, penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), penduduk luar bandar, kumpulan nelayan, golongan muda, generasi kedua FELDA, FELCRA dan RISDA, pemandu teksi dan usahawan.

Dalam Bajet 2017 bertemakan ‘Menjamin Perpaduan & Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’ itu, Najib mencadangkan sejumlah peruntukan RM260.8 bilion iaitu RM214.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM46 bilion untuk belanja pembangunan.

Jumlah itu tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion, katanya.

Najib berkata Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada lima prinsip dan falsafah kerajaan termasuk mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara bangsa dan memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara.

Beliau berkata konsep penting yang ditekankan dalam Bajet 2017 dalam menuju status negara maju ialah ‘kebahagiaan masyarakat’.

“Bajet ini bukan hanya tentang pendapatan semata¬mata, tetapi ia berkait kualiti kesejahteraan hidup rakyat, seperti aman daripada jenayah, menikmati alam sekitar yang bersih dengan pelbagai seni dan kebudayaan yang berwarna-warni,” katanya.

Konsep itu juga menekankan pencapaian pendidikan yang tinggi, mengangkat kesarjanaan dan keintelektualan, khidmat kesihatan yang terjamin serta memiliki akses kepada pengangkutan awam yang efisien, katanya.

Perdana menteri berkata demi kesejahteraan rakyat, kerajaan akan terus melaksanakan projek dan program ‘berpaksikan rakyat’ di bandar dan luar bandar.