Penerjun China dominasi podium Grand Prix FINA

0
UNGGUL: (Dari kanan) Loh, Lian dan Xia ketika majlis penyampaian hadiah kejohanan terjun FINA 2016.

UNGGUL: (Dari kanan) Loh, Lian dan Xia ketika majlis penyampaian hadiah kejohanan terjun FINA 2016.

KUCHING: Penerjun China mendominasi podium pada Grand Prix Terjun Dunia FINA 2016 yang memulakan saingan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini semalam.

Dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki, Xie Siyi muncul juara dengan mengumpul 479.15 mata manakala rakan senegara, Peng Jianfeng meraih perak selepas mengutip 421.45 mata.

Penerjun Australia, Kevin Chavez tempat ketiga selepas mengutip 397.65 mata.

Acara 10 meter platform individu wanita menyaksikan penerjun negara, Loh Zhiayi meraih kedudukan ketiga selepas mengutip 285.55 mata.

Penerjun China, Lian Jie dan Xia Bingqing masingmasing menduduki tempat pertama dan kedua selepas mengutip 302.65 mata dan 298.25 mata.

Kejohanan anjuran Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) berakhir 23 Oktober (Ahad ini) dengan Malaysia mempertaruh sembilan penerjun rata-ratanya atlet Sukan Olimpik 2016.

Bagaimanapun, pemenang perak acara terjun seirama, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong tidak turut serta kerana masih mengalami kecederaan.

Terdahulu itu, berlangsung majlis pembukaan kejohanan yang dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Datuk Sri Micheal Manyin Jawong.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden ASAS Datuk Wee Hong Seng.

Manyin dalam ucapannya melahirkan rasa terharu dengan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan dunia itu.

“Ini kali pertama Grand Prix FINA ini dianjurkan di luar Kuala Lumpur dan pertama kali diadakan di Sarawak…kita berasa sangat terharu kerana dipiih sebagai tuan rumah.

“Ia merupakan kejohanan terjun berprestij di mana hanya penerjun-penerjun terbaik di dunia dijemput untuk mengambil bahagian,” katanya.

Menurutnya, penganjuran Grand Prix FINA itu juga memberi peluang kepada penerjun-penerjun menyertai kejohanan kompetitif bertaraf dunia selain kejohanan seperti Sukan Komanwel, Sukan Olimpik dan Sukan ASEAN.

Jelasnya, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan ASUM dan ASAS untuk memastikan penganjuran kejohanan tersebut berjalan dengan lancar dan jayanya.