Bajet 2017 pastikan fundamental ekonomi negara terus mampan

0

Buktikan komitmen pastikan ekonomi negara terus berkembang: KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata Bajet 2017 berupaya memastikan fundamental ekonomi negera terus mampan dan berada di landasan yang positif.

Beliau berkata bajet itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Bajet ini juga memberi jaminan kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos dan kelembapan ekonomi. Antaranya menerusi peningkatan jumlah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) mengikut kategori,” kata Musa, yang menyaksikan siaran secara langsung pembentangan Bajet 2017 di kediaman rasminya di Seri Gaya, di sini kelmarin.

Beliau berkata kerajaan negeri dan rakyat Sabah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri yang terus memberikan tumpuan kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat negeri ini menerusi peruntukan bajet berkenaan.

“Antaranya pembinaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang baharu di Sabah, Lebuh Raya Pan Borneo, peruntukan pemetaan tanah, pelaksanaan projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC), menaik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar, dan pembinaan semula stesen janakuasa Sandakan.

Begitu juga keperluan asas rakyat seperti jalan raya, bantuan sekolah daif, bekalan elektrik, perumahan rakyat dan bantuan musim tengkujuh serta projek-projek mesra rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata peruntukan yang disediakan kerajaan merupakan peruntukan ikhlas daripada kerajaan untuk rakyat dengan pendekatan holistik untuk memajukan rakyat dan negara. — Bernama