Hanifah: Kerjasama kembalikan era kegemilangan bola sepak S’wak

0

KUCHING: Penasihat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Hanifah Taib- Alsree mahu Exco persatuan itu bekerjasama dengan beliau memikirkan jalan untuk mengembalikan era kegemilangan bola sepak Sarawak.

Katanya, usaha menaikkan semula bola sepak negeri bukan tugas mudah dan memerlukan semua pihak dalam persatuan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“FAS melantik saya sebagai penasihat kerana yakin saya mampu membawa perubahan kepada pasukan Sarawak.

Namun, ia bukan tugas mudah dan menuntut kerjasama semua pihak bersama-sama bekerja dalam satu pasukan,” katanya pada Malam Penghargaan Bersama Exco FAS dan pasukan bola sepak Sarawak di sini malam kelmarin.

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol.

Hanifah juga mahu FAS tampil dengan idea kreatif memajukan persatuan dan pasukan Sarawak.

“Saya memilih untuk menjadi penasihat FAS kerana saya sangat sayangkan pasukan bola sepak Sarawak dan percaya pasukan ini mampu kembali ke landasan yang lebih baik.

Cuma jangan terlalu mengharapkan keajaiban berlaku dalam tempoh yang singkat,” jelas beliau.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAS Abdul Wahab Rahim mengakui kerisauan mengenai isu presiden persatuan itu berkurangan selepas pelantikan Hanifah sebagai penasihat.

Jelasnya, apa yang penting ketika ini adalah FAS memiliki barisan ahli yang mahu dan mampu bekerja untuk menaikkan semula pasukan Sarawak.

“Sebagai ‘orang baharu’ dalam FAS untuk tempoh 2016-2018, kita berusaha sebaik mungkin meletakkan pasukan bola sepak Sarawak kembali ke era kegemilangan seperti yang dilakarkan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan wang bukan kunci kejayaan Sarawak tetapi inspirasi dalam diri setiap Exco persatuan yang akan membawa kejayaan kembali kepada pasukan tersebut.