Kita mempunyai format unik dalam misi pembangunan

0
TERIMA KASIH: Tun Taib (kanan) menerima cenderamata daripada Megat Zakaria sebagai tanda kenang-kenangan pada majlis itu.

TERIMA KASIH: Tun Taib (kanan) menerima cenderamata daripada Megat Zakaria sebagai tanda kenang-kenangan pada majlis itu.

ta04310Generasi baharu harus dididik, guna landasan sama demi menuju tahap negara maju, pelihara keharmonian: TYT

Oleh Mohamad Achil Norrlatep //

MUKAH: Malaysia dan Sarawak mempunyai format unik dalam misi pembangunannya sesuai dengan pelbagai aspek perpaduan kaum.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata generasi baharu harus dididik dan menggunakan landasan sama demi menuju tahap negara maju serta memelihara keharmonian masyarakat.

“Kita punya format unik menubuhkan negara di mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu dan kaya dengan pelbagai adat resam, budaya dan kepelbagaian agama,” katanya pada Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah Ke-6 di sini semalam.

Menurutnya, demi mengekalkan keadaan yang aman dan harmoni serta pada masa sama menuju ke arah negara maju, pembangunan hendaklah bersesuaian.

Katanya ini hanya dapat dicapai melalui pemahaman di bangku sekolah dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi agar tidak tersasar daripada matlamat asal.

“Negara yang sedang membangun menuju ke arah negara maju sebenarnya turut membabitkan pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.

Oleh sebab itu, generasi pelajar harus mempersiap diri ke arah itu tanpa melupakan acuan yang telah lama terbentuk.

Turut berucap Pengarah MARA Sarawak Megat Zakaria Megat Ahmad.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA Abdul Hamid Ahmad dan Pengetua MRSM Mukah Maznan Maamor.

Majlis graduasi itu menyaksikan seramai 112 pelajar tingkatan lima diberikan Sijil Graduasi MRSM manakala tiga tokoh pelajar turut diumumkan.

Tiga tokoh berkenaan ialah kategori Terbaik Kokurikulum (Muhammad Azam Hakimie Ahmad), Terbaik Akademik (David Wong) dan Terbaik Keseluruhan (Juriani Idris).