Miri destinasi ketiga Karnival Jelajah Hoki Sarawak 2016

0

KUCHING: Miri menjadi destinasi ketiga Karnival Jelajah Hoki Sarawak 2016 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 13 November depan.

Karnival anjuran Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS) itu dijangka akan menggunakan Padang Hoki Kelab Rekreasi Petrolium (KRP) Lutong, Miri sebagai venue utama.

Setakat ini, sebanyak 18 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam kategori terbuka lelaki termasuk dari Brunei dan Semenanjung Malaysia.

Manakala sebanyak 15 pasukan dijangka bersaing dalam kategori bawah 16 tahun lelaki.

Kategori terbuka wanita pula dijangka disertai sebanyak lima pasukan dan bawah 16 tahun wanita sebanyak lapan pasukan.

Presiden PBPHS, Haidel Heli berkata siri jelajah hoki di Miri merupakan kesinambungan kepada dua edisi sebelumnya yang diadakan di Bintulu dan Betong.

“Karnival ini merupakan inisiatif PBPHS dalam mempromosi dan menghidupkan sukan hoki di seluruh negeri ini selain mencungkil bakatbakat baharu khususnya kalangan pemain muda berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan jumlah penyertaan setakat ini yang memperlihatkan potensi sukan itu kembali popular kalangan masyarakat di Sarawak.

Malah, beliau percaya Miri sebagai salah satu kuasa hoki di negeri ini akan melahirkan ramai pemain muda berpotensi daripada karnival itu nanti.