Sarawak kekal dalam Liga Super 2017

0
TANGKAS: Pemain pertahanan import Sarawak, Teah Baysah Dennis (kiri) mengasak pemain PDRM pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi. Sarawak menang 2-1 ke atas PDRM. — Gambar Bernama

TANGKAS: Pemain pertahanan import Sarawak, Teah Baysah Dennis (kiri) mengasak pemain PDRM pada saingan Liga Super di
Stadium Negeri, Kuching malam tadi. Sarawak menang 2-1 ke atas PDRM. — Gambar Bernama

Membenam PDRM dengan 2-1 pada perlawanan terakhir di Stadium Negeri malam tadi

KUCHING: Sarawak bernasib baik kekal dalam saingan Liga Super musim depan apabila membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 pada aksi terakhir Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini malam tadi.

Pemain import Sarawak, Gilmar da Silva menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan pada minit ke-45 setelah bola terkena tangan pemain PDRM.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah dikejutkan oleh PDRM dengan jaringan oleh pemain importnya, Guilherme de Paula minit ke-27 selepas menguis masuk bola percubaan awal rakan sepasukan, Christopher Keli setelah ditepis oleh penjaga gol Sarawak, Iqbal Suhaimi.

Namun, Sarawak banyak melakukan serangan pada awal permainan dengan peluang menjaringkan gol diperolehi pemain import, Teah Denis pada minit ke-15.

Selepas itu, penyerang import Sarawak Makeche Ndumba turut mendapatkan peluang terbaik pada minit ke-19 namun percubaannya tersasar ke kiri gawang pasukan pelawat.

Sarawak terus menggasak memburu gol penyamaan apabila Gilmar hampir-hampir menjaringkan gol namun bola rembatannya menggegar jaring kiri gawang PDRM.

Dua puluh minit perlawanan berlalu, pasukan Ngap Sayot bagaimanapun mampu menguasai perlawanan dengan beberapa serangan dilakukan dari pelbagai sudut.

Minit ke-25, Makeche ternyata memiliki peluang keemasan menjaringkan gol apabila hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol PDRM, Muhamad Hamdan Sairi.

Minit-minit akhir babak pertama Sarawak dihadiahkan dua sepakan penalti dalam tempoh dua minit setelah bola terkena tangan pemain PDRM justeru Gilmar menyempurnakan sepakan penalti kedua dengan kedudukan 1-1.

Babak kedua, Sarawak tampak memberi tekanan kepada PDRM untuk terus mencari gol kemenangan dengan asakan bertali arus dilakukan oleh jentera serangannya.

Hasil serangan demi serangan, Sarawak akhirnya memperolehi gol kemenangan pada minit ke-86 menerusi sentuhan berbisa pemain muda, Nur Shamie Iszuan justeru mengekalkan Ngap Sayot dalam Liga Super musim 2017 dengan mengumpul 24 mata.