Kelulut lumayan

0

Pengusaha mampu jana pendapatan antara RM200 hingga RM1,000 sehari.

// Oleh Agnes Tugong //

PELANCARAN: Naroden (kanan) melancarkan penubuhan Pertubuhan Usahawan Bumiputera Kelulut Sarawak selepas penutupan Kursus Pemprosesan Madu Kelulut dan Penghasilan Produk Hiliran Berasaskan Kelulut di Serapi Garden di Kuching semalam.

KUCHING: Pengusaha kelulut mampu menjana pendapatan lumayan antara RM200 hingga RM1,000 sehari dengan kos yang amat rendah, kata Menteri Muda Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

Ini menunjukkan bahawa penternakan kelulut bagi pengeluaran madu secara komersial sangat berpotensi dijadikan sebagai aktiviti sosioekonomi di kawasan luar bandar terutama dalam kalangan suri rumah dan belia kampung.

“Pasaran madu kelulut tulen mencecah RM100 hingga RM200 sekilogram manakala harga satu koloni kelulut mencecah antara RM100 hingga RM150 yang turut berpotensi dijadikan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Pemprosesan Madu Kelulut dan Penghasilan Produk Hiliran Berasaskan Kelulut di Serapi Garden, Kota Padawan di sini semalam.

Kursus tersebut merupakan anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (BPUIH), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak.

Melihat kepada potensi perusahaan kelulut, Naroden turut menggalakkan belia negeri ini terutama di luar bandar menceburi penternakan kelulut bagi pengeluaran madu secara komersial serta produk hiliran yang lain.

BERPOTENSI: Naroden (kanan) melihat produk-produk hiliran yang dihasilkan daripada madu kelulut oleh pengusaha kelulut Sarawak di Serapi Garden di Kuching semalam.

BERPOTENSI: Naroden (kanan) melihat produk-produk hiliran yang dihasilkan daripada madu kelulut oleh pengusaha kelulut Sarawak di Serapi Garden di Kuching semalam.

“Ramai belia yang malu untuk menceburi bidang seperti ini dan tidak mahu dipanggil sebagai usahawan kampung misalnya.

“Tetapi, kawasan luar bandar sekarang ini tidak lagi seperti dahulu dan kebanyakan sumber ekonomi yang merupakan sumber pendapatan penting kepada kita adalah dari luar bandar.

“Apa yang diperlukan ialah agresif dalam mencari peluang dan ilmu asas bagaimana untuk menternak dan memproses madu dan saya yakin anda boleh berjaya,” katanya kepada lebih 50 peserta yang menyertai kursus tersebut.

Mengulas mengenai kursus tersebut, Ketua Penolong Pengarah BPUIH Awang Putra Yusri berkata kursus berkenaan berlangsung selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Oktober melibatkan penternak kelulut yang telah mempunyai produk asas madu segar dan produk hiliran.

Kursus ini katanya, lebih kepada memberi pendedahan asas dan teknik tuaian dan pemprosesan madu kelulut yang betul berdasarkan manual prosedur yang betul.

Selain itu, kursus ini juga bertujuan menerokai peluang-peluang baharu hasil daripada penyelidikan dan pembangunan madu kelulut yang boleh diceburi usahawan dan belia di negeri ini.

Pada kursus tersebut, pengusaha madu kelulut Sarawak juga telah mencadangkan penubuhan Pertubuhan Usahawan Bumiputera Kelulut Sarawak dan melantik Naroden sebagai penaung serta Ismaily Liu sebagai pengerusi protem pertubuhan.

KENANGAN: Naroden (duduk, empat kanan), Awang Putra (duduk lima kanan) serta tetamu jemputan yang lain merakam kenangan bersama peserta kursus selepas majlis penutupan semalam.

KENANGAN: Naroden (duduk, empat kanan), Awang Putra (duduk lima kanan) serta tetamu jemputan yang lain merakam kenangan bersama peserta kursus selepas majlis penutupan semalam.