Projek Peningkatan Jalan Miri ke Marudi dijangka siap 31 Mac 2019

0
MAKLUMAT: Infografik Pembangunan Projek Peningkatan                     Jalan Miri ke Marudi.

MAKLUMAT: Infografik Pembangunan Projek Peningkatan Jalan Miri ke Marudi.

KUCHING: Pembangunan Projek Peningkatan Jalan Miri ke Marudi kini giat dilaksana dan mengikut jadual yang ditetapkan dan dijangka siap 31 Mac 2019.

Syarikat kontraktor terkemuka yang menjalankan kerja penyelenggaran jalan di Sarawak, CMS Roads Sdn Bhd (CMS Roads) yang bertanggungjawab memastikan penyelenggaran setiap jalan negeri di bawah konsesinya berkata, untuk jalan dari Miri ke Marudi sejauh 43.2km yang menjadi buah mulut masyarakat selama ini, kualiti dan keselamatan pengguna menjadi aspek utama yang memerlukan penambahbaikan.

CMS menurut kenyataan akhbarnya semalam berkata, kerajaan negeri telah mengkaji dua pilihan yang dapat diambil untuk meningkatkan Jalan Miri ke Marudi itu.

Pilihan pertama ialah kos peruntukan berjumlah RM220 juta bagi membaik pulih jalan dengan permukaan asfalt penuh, mengurangkan semua tahap curam daripada 20 peratus kepada 10 peratus, meningkatkan bahagian terdedah banjir, mencipta gantri serta menempatkan halangan keselamatan.

“Akibat kekurangan dana selain ditambah dengan desakan untuk mempercepatkan kerja penaiktarafan kerja ini, kerajaan memilih pilihan kedua dengan peruntukan berjumlah RM77.4 juta bagi projek peningkatan yang akan merangkumi kerja-kerja seperti memasang cerun pemangkasan, meningkatkan bahagian terdedah banjir, meletak batu asas serta menurap permukaan jalan,” kata kenyataan akhbar itu.

Mengambil kira keadaan jalan yang kritikal itu, CMS Roads memulakan kerja pembaikpulihan pada 11 Januari tahun ini, iaitu tarikh sebelum pihaknya menerima sebarang Surat Penyerahan Tender.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Jalan dan Pembinaan CMS Lim Jit Yaw memberitahu, CMS Roads kini bekerja rapat dengan kerajaan negeri bagi mereka semula pelan jalan raya bagi menampung per-untukan sedia ada.

“Bagaimanapun, kedua-dua pihak tetap konsisten bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan mewujudkan rangkaian jalan raya sepanjang tahun adalah keutamaan mutlak kami.

“Sementara kerja mereka semula dan merancang meng-ambil masa kira-kira tiga bulan, kumpulan kami bekerja bersungguh-sungguh agar kami dapat menyiapkan jalan tersebut pada tarikh yang ditetapkan iaitu Mac 2019,” katanya.

Sepanjang kerja penaiktarafan jalan berlangsung, Lim juga memberi jaminan bahawa CMS Roads akan menggunakan rancangan terbaik bagi sistem pengurusan trafik bertujuan mengurangkan rasa tidak senang kepada pengguna jalan raya.

Bagaimanapun katanya, pengguna jalan raya masa ini bakal berdepan kelewatan menuju ke destinasi akibat kerja penaiktarafan jalan, justeru pengguna diingatkan agar merancang perjalanan dengan sewajarnya.