Sacofa disaran perluas rangkaian telekomunikasi

0

Bina lebih banyak lagi menara telekomunikasi di kawasan luar bandar negeri ini, kata Tun Taib

// Oleh Nick Fletcher //

LOGO BAHARU: Tun Taib melakukan simbolik pelancaran logo baharu Sacofa sambil disaksikan Rundi (kiri), Syed Ahmad (kanan) dan tetamu kehormat lain.

LOGO BAHARU: Tun Taib melakukan simbolik pelancaran logo baharu Sacofa sambil disaksikan Rundi (kiri), Syed Ahmad (kanan) dan tetamu kehormat lain.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyarankan kepada Sacofa Sdn Bhd (Sacofa) untuk terus memperluaskan rangkaian telekomunikasi menerusi pembinaan lebih banyak lagi menara telekomunikasi di kawasan luar bandar negeri ini.

Menurut beliau, inisiatif itu sangat penting bagi menyediakan kemudahan terutama kepada generasi muda untuk mengikuti perkembangan semasa melalui akses Internet dan pada masa sama meningkatkan kualiti pendidikan di luar bandar.

“Saya ingin Sacofa menyambung Sarawak ke seluruh dunia melalui satelit dengan menyediakan menara telekomunikasi di segenap kawasan luar bandar.

“Saya pasti ini adalah sumbangan yang besar kepada anak-anak kita di mana ia membolehkan mereka menjadi sebaik kanak-kanak seperti di Semenanjung Malaysia.

“Ini kerana, melalui telekomunikasi ia dapat membantu anak-anak kita menikmati sistem pendidikan dan masa depan yang lebih baik menerusi bakat dan keupayaan bergerak seiring dengan perubahan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-15 Sacofa di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

Turut hadir Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Pengerusi Sacofa Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree dan Pengarah Urusan Sacofa Mohamed Zaid Zaini.

Tun Taib berkata walaupun untuk mendapatkan sambungan satelit memerlukan kos yang sangat mahal namun ia sangat diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negeri ini.

“Kita mahu semua anak kita dapat dibangunkan dalam program pendidikan masa depan iaitu melalui telekomunikasi.

“Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa Sacofa mempunyai tugas yang besar dan memerlukan sokongan daripada kerajaan negeri termasuk sektor swasta untuk memastikan penyebaran pendidikan kita tidak akan diganggu disebabkan kesukaran yang mungkin timbul daripada gangguan kemudahan komunikasi,” katanya.