Guna dron buat pemetaan kawasan pertanian

0

Oleh Patricia Gari//

SIMBOLIK: Uggah memasukkan kunci khas bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Kanan JPS. Turut kelihatan (dari kiri) Ngenang, Julaihi, Lai dan Harden.

SIMBOLIK: Uggah memasukkan kunci khas bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Kanan JPS. Turut kelihatan (dari kiri) Ngenang, Julaihi, Lai dan Harden.

KUCHING: Teknologi dron akan digunakan untuk membuat pemetaan kawasan pertanian khususnya tanaman komoditi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata teknologi kawalan jarak jauh itu akan mula digunakan pada Disember tahun ini.

“Kita mahu membuat pemetaan pembahagian dan keluasan kawasan penanaman komoditi seperti kelapa sawit, getah, lada, kelapa, sagu serta tanaman lain di negeri ini.

“Melalui teknologi ini misalnya kita akan tahu lokasi-lokasi dan keluasan sebenar kebun getah di Sarawak… adakah kita benar-benar mempunyai 175,000 hektar kebun getah,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) di sini semalam.

Beliau menambah, meneruisi penggunaan teknologi terkini itu, Sarawak akan mempunyai imej kawasan tanaman pertanian serta komoditi yang jelas.

Menerusi pemetaan itu juga katanya, kementeriannya boleh melakukan perancangan terbaik untuk membangunkan tanaman-tanaman komoditi tertentu di negeri ini pada masa akan datang.

Sebagai contoh katanya, kementeriannya berusaha memperkenalkan sistem penanaman getah secara berkelompok.

“Apabila sistem ini diguna pakai dan pemetaan sudah dibuat kita tahu di mana lokasi-lokasi kebun getah di Sarawak.

“Menerusi peta itu, kita dapat membangunkan kebun getah secara berkelompok untuk mencapai sasaran 300,000 hektar pada masa akan datang,” katanya sambil menambah, perkara sama turut dilakukan terhadap tanaman pertanian yang lain.

Katanya kementeriannya juga dapat membuat perancangan strategik membangunkan sektor pertanian yang menyeluruh melibatkan semua kawasan di negeri ini.

Menurutnya teknologi dron telah digunakan oleh banyak syarikat perladangan kelapa sawit utama di negara ini untuk mengira jumlah pokok ditanam.

“Cuma sekarang di JPS dan kementerian kita, belum ada peta-peta seperti itu (kawasan penanaman komoditi).

“Itu yang hendak kita lakukan dan berharap sekurang-kurangnya kita sudah ada asas menjelang Disember ini,” katanya.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Uggah berkata sektor pertanian Sarawak tidak boleh berkembang maju tanpa penggunaan teknologi terkini.

Katanya di negara maju, promosi teknologi dalam pertanian, banyak dikuasai sektor swasta dan perniagaan.

“Pengenalan teknologi pertanian baharu sama ada dikenali ‘program lanjutan pertanian atau program pemindahan teknologi’ atau apa sahaja, ia merupakan pusat kepada kemajuan sektor pertanian.

“Oleh itu adalah tanggungjawab JPS memperkenalkan sistem lanjutan yang berkesan bagi memastikan pekebun kecil kita mengakses mudah kepada teknologi baharu pertanian,” ujarnya.

Pada masa sama beliau mahu pegawai pembantu pertanian di Pejabat Pertanian Wilayah digerakkan bagi memperkenalkan program lanjutan pertanian kepada pekebun kecil di luar bandar negeri ini.

“Saya mengakui kurang pakar mengenai program lanjutan pertanian dan tidak boleh mempersoalkan jika ada yang mengatakan ia tidak relevan lagi.

“Namun saya sangat bimbang mengenai hasil dan hasil yang saya harapkan ialah akses mudah kepada teknologi baharu pertanian kepada semua pihak pekebun kecil, usahawan dan syarikat,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pesisir) dan Perikanan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Pedalaman) dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pertanian Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Datu Dr Ngenang Jangu dan Pengarah JPS Datu Lai Kui Fong.