Lelaki miliki 180 cakera optik dikenakan waran tangkap

0

MIRI: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki dituduh memiliki 180 keping cakera optik tanpa mempunyai Perakuan Sijil B kerana gagal hadir untuk sebutan kes semalam.

Mahkamah memerintahkan waran tangkap itu dikembalikan pada 21 November depan.

Ling Leong Ching, 33, dari Jalan Krokop di sini didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 dan dihukum di bawah Seksyen 6 (2) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh memiliki sebanyak 180 keping cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) pelbagai tajuk tanpa mempunyai Perakuan Sijil B.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 2.15 petang, pada 7 Jun tahun ini di sebuah premis kompleks beli-belah Boulevard di sini.