Mangsa mati ditembak

0

Oleh Jeremy Lanson//

SIDANG MEDIA: Mazlan (tengah) bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof (kanan) dan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai pada sidang media di Kuching, semalam.

SIDANG MEDIA: Mazlan (tengah) bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof (kanan) dan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai pada sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Cubaan sekumpulan lelaki yang dipercayai cuba merempuh sekatan di jalan masuk ke sebuah ladang di Ulu Sungai Arip, Balingian, Mukah mengundang padah apabila seorang daripadanya mati ditembak petang kelmarin.

Difahamkan, insiden yang meragut nyawa Fabian Janti Lebau berusia 26 tahun, berlaku sekitar jam 6 petang kelmarin (Isnin) apabila mangsa bersama beberapa lagi rakannya dipercayai dalam perjalanan menuju ke ladang sawit berdekatan.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara kumpulan mangsa dengan pihak yang melakukan sekatan sebelum mangsa ditembak dipercayai menggunakan senapang patah sehingga menyebabkan kematian.

“Mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap di tepi jalan masuk ke ladang berkenaan dipercayai akibat ditembak menggunakan senapang patah di bahagian bawah rusuk kanan dan terdapat kesan tetakan di kepala.

“Selain itu, siasatan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru berdekatan dengan mayat mangsa dan tempat kejadian terletak kira-kira 100 meter dari tempat sekatan yang didirikan oleh penduduk rumah panjang.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau dalam satu kenyataannya di sini semalam.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor semalam turut mengesahkan pihaknya telah menahan tiga individu dipercayai rakan mangsa untuk membantu siasatan pada hari kejadian.

“Pada masa ini (semalam), siasatan masih dijalankan dan terlalu awal untuk saya mendedahkan hasil siasatan, namun kita telah menahan tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini.

Selain itu, Mazlan turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Jangan gunakan kaedah alam maya untuk meriuhkan lagi keadaan dengan menyebarkan maklumat atau info yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Seskyen 505(b) Kanun Keseksaan terhadap mana-mana pihak yang bertindak sedemikian (menggugat ketenteraman awam).

“Biar kami (polis) buat kerja kami,” tegas Mazlan.

Menurut sumber, mangsa semasa kejadian bersama kira-kira lebih 10 orang rakannya dengan menaiki empat kenderaan tiba di sekatan jalan tersebut yang dibuat oleh penduduk lima daripada sembilan rumah panjang di sepanjang jalan raya tersebut.

Sekatan yang dibuat sejak 4 Oktober lalu adalah untuk menuntut ganti rugi daripada pihak pengusaha ladang sawit.

Selain itu, difahamkan jalan raya tersebut juga dibina oleh pengusaha ladang yang lama atas persetujuan sembilan rumah panjang di sepanjang jalan raya tersebut sebelum diambil alih oleh syarikat yang baharu.

Dalam perkembangan lain, difahamkan polis turut mengambil keterangan daripada tiga individu termasuk dua ketua rumah panjang dan pemimpin masyarakat untuk membantu siasatan.

“Saya tidak dapat mengesahkan identiti mereka, tetapi betul kami dah memanggil beberapa individu untuk soal siasat,” katanya ketika dihubungi semalam.