Tiada sekatan jalan di Limbang hari ini

0

Oleh Mastura Ismail//

LIMBANG: Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai menafikan khabar angin diviralkan dalam aplikasi WhatsApp mengenai operasi besar-besaran sekatan jalan raya dilakukan polis Bukit Aman di bandar ini hari ini.

Menurutnya, tidak ada pegawai atau anggota trafik Bukit Aman turun ke Limbang melakukan sekatan jalan raya.

“Tidak ada pun pegawai atau anggota trafik Bukit Aman turun ke Limbang untuk melakukan sekatan jalan raya,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu panik mengenai khabar angin itu sebaliknya menunaikan tanggungjawab membayar saman tanpa menunggu operasi sekatan jalan raya berbuat demikian.

Khabar angin mengenai sekatan jalan raya besar-besaran itu mula diviralkan dalam aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Antara kandungan dalam WhatsApp itu meminta orang ramai yang hendak ke bandar ini agar berhati-hati kerana PDRM dari Bukit Aman mengadakan sekatan secara besar-besaran di bandar ini.

Turut disebarkan, dakwaan pegawai polis Bukit Aman yang sudah sampai di Limbang untuk membuat sekatan jalan raya dan kesalahan trafik selain saman akan dikeluarkan semasa sekatan dijalankan.