1,000 kakitangan sertai Karnival Sukan PBT Edisi Ke-3

0

KUCHING: Seramai 1,000 kakitangan mewakili 24 agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) menyertai Karnival Sukan PBT Edisi Ke-3 yang bermula semalam hingga 29 Oktober 2016.

Ia mempertandingkan 14 acara sukan iaitu sepak takraw, dart, catur, karom, pingpong, sukaneka, bola sepak, futsal, badminton, boling, petanque, bola jaring, bola tampar dan golf.

Enam acara sukan iaitu sepak takraw, dart, catur, karom, pingpong, sukaneka diadakan di Kolej Multimedia Telekom Malaysia, Jalan Sultan Tengah yang juga menjadi venue utama karnival.

Venue lain yang turut diguna pakai ialah Padang Bola Sepak HDC (bola sepak), Sport Planet Demak (futsal), Dewan Badminton PBBS, Jalan Samariang (badminton), Pusat Boling Megalane Batu Kawa (boling), Gelanggang Petanque Santubong (petanque), Stadium Tertutup MBKS (bola jaring), Stadium Tertutup Datuk Kawada, Muara Tabuan (bola tampar) dan Kelab Golf Sarawak (golf).

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini.

Terdahulu berlangsung majlis perasmian karnival yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak Bakrie Zaini dan turut dihadiri Pengarah DBKU Dr Saadiah Abdul Samat di Kolej Multimedia TM semalam.

Dalam ucapannya Bakrie memuji komitmen dan kesungguhan DBKU dalam menjayakan karnival kali ini.

“Objektif penganjuran Karnival Sukan PBT adalah untuk mengeratkan silaturahim antara pegawai-pegawai PBT melalui sukan.

“Melalui penganjuran karnival sukan sebegini, kita semua berpeluang bersamasama memerah tenaga bermuafakat bagi menyatakan komitmen kepada pasukan kita.

“Saya berharap semangat sebegini akan menjadi amalan kita semua dalam menjalankan tugas seharian dalam menyampaikan perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat sekali gus memakmurkan negeri ini,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan kepada penganjur karnival itu pada tahun akan datang agar memikirkan satu acara untuk menarik lebih banyak penyertaan dan berusaha menjadikan karnival sukan itu acara yang dinanti-nantikan.