134 kanak-kanak prasekolah terima sijil pada majlis graduasi

0
TAMAT:Dr Jerip menyampaikan sijil kepada kanak-kanak Tabika dan Taska KEMAS, semalam. Turut kelihatan Monalizawati (dua kiri) serta tetamu jemputan lain.

TAMAT:Dr Jerip menyampaikan sijil kepada kanak-kanak Tabika dan Taska KEMAS, semalam. Turut kelihatan Monalizawati (dua kiri) serta tetamu jemputan lain.

KUCHING: Seramai 134 kanak-kanak Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kawasan DUN Mambong serta Parlimen Puncak Borneo menerima sijil sempena majlis graduasi mereka.

Daripada jumlah itu 120 kanak-kanak iaitu mereka yang berusia enam tahun tamat kelas tabika dan 14 lagi kanak-kanak iaitu berusia empat tahun daripada kelas taska.

Majlis konvokesyen 16 prasekolah iaitu 13 Tabika dan tiga Taska KEMAS itu disempurnakan Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil di sini, semalam.

Dr Jerip dalam ucapannya berkata, guru prasekolah serta ibu bapa kanak-kanak Tabika dan Taska KEMAS perlu bersama memain peranan bagi melahirkan modal insan berkualiti dari awal.

“Dengan meraikan mereka melalui graduasi seperti ini, ia memberi inspirasi kepada kanak-kanak bahawa mereka mempunyai peluang untuk belajar.

“Ia sekali gus menggambarkan kebolehan dan bakat mereka dalam pendidikan dapat dipamerkan,” katanya berucap pada Majlis Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika dan Taska KEMAS DUN Mambong dan Parlimen Puncak Borneo di sini, semalam.

Sehubungan itu kata Dr Jerip, adalah amat penting kepada guru, pegawai KEMAS dan ibu bapa bersama memainkan peranan dalam memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak.

Sementara itu Timbalan Pengarah KEMAS Negeri Dayang Monalizawati Abang Ismail dalam ucapannya berkata, di Tabika KEMAS, mereka akan mengadakan analisis taksiran kepada kanak-kanak.

Katanya kanak-kanak akan dinilai melalui tiga fasa sepan jang tahun iaitu Mac, Jun dan September.

“Sehingga September lepas, tahap kecemerlangan analisis berkenaan menunjukkan melebihi 80 peratus dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“Selain itu dalam Tabika KEMAS juga, kita bukan sahaja menekankan tentang mengajar huruf serta angka tetapi memupuk nilai murni, sikap berani dan sebagainya kepada kanak-kanak,” katanya.

Mengenai penganjuran konvokesyen yang diadakan, Monalizawati berkata ia memberi inspirasi kepada semua pihak selain meningkatkan kesediaan dalam membantu anak-anak mencapai keputusan cemerlang di sekolah rendah nanti.

Jelasnya ini kerana kanak-kanak berkenaan merupakan pewaris dan pemimpin negara yang perlu dibentuk pada peringkat awal.

KEMAS kata beliau, komited dalam melahirkan modal insan dan sepanjang kewujudannya 54 tahun lepas pelbagai transformasi dilaksanakan di Tabika dan Taska KEMAS.

“Di Sarawak pada awal kemunculan kita mempunyai 700 Tabika KEMAS berbanding kini lebih 1,000 buah iaitu peningkatan 100 peratus,” katanya.