Pelancong Australia masih hilang di Gunung Mulu

0

Andrew Gaskell dilapor hilang sejak 20 Okt lalu, belum ditemui dan usaha mencarinya masih diteruskan

Oleh W. Bolly Ongie dan Clare Cinderella //

MULU: Seorang pelancong warga Australia, Andrew Gaskell, 25, yang dilapor hilang di Taman Negara Gunung Mulu sejak 20 Oktober lalu, masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan polis bersama pasukan bomba dan penyelamat masih diteruskan.

Pasukan SAR turut dibantu oleh pemandu pelancong serta renjer taman negara dan penduduk kaum Berawan dari Kampung Long Terawan dan Penan dari perkampungan Batu Imam yang terletak di taman negara tersebut.

Ketua Polis Daerah Baram DSP Gabriel Risut memberitahu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pusat Miri pada 26 Oktober oleh seorang kenalan yang juga seorang guru, Kalang Baling dari Bandar Baharu Permyjaya, Miri.

“Memandangkan kes tersebut berlaku di Mulu, maka laporan berkenaan diserahkan kepada Pejabat Polis Daerah Marudi untuk tindakan lanjut.

“Bertindak atas laporan yang diterima, kami di sini lantas menubuhkan pasukan SAR yang terdiri daripada lapan anggota polis, dibantu lima anggota bomba dan penyelamat, pemandu pelancong dan renjer Taman Negara Gunung Mulu, melancarkan gerakan mencari dan menyelamat bermula hari ini (semalam),” katanya kepada Utusan Borneo ketika dihubungi dari Miri, semalam.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, Andrew yang memegang pasport No.3337436 dan berasal dari Cairns di Queensland, Australia telah mengambil penerbangan dari Miri ke Mulu pada 18 Oktober, jam 9 pagi.

Ketika di Mulu, Andrew telah tinggal bersama abang pengadu yang bernama Timothy Baling dan pada 20 Oktober.

Andrew memberitahu, Timothy bahawa dia hendak pergi ke Taman Negara Gunung Mulu dan akan balik keesokan harinya (21 Oktober).

Malah ketika tiba di taman negara berkenaan, Andrew turut menghantar mesej kepada Timothy bahawa dia akan balik esok (21 Oktober), namun hingga semalam, Andrew masih gagal dihubungi mahupun dikesan.

Gabriel ketika ditanya mengenai keluasan pencarian sehingga semalam, berkata beliau tidak dapat memastikan sejauh mana kawasan pencarian yang sudah dilakukan kerana masih belum mendapat maklumat terkini daripada anggota SAR ditambah dengan komunikasi yang agak sukar.

“Saya sendiri akan terbang ke Mulu esok untuk memantau keadaan dan mendapatkan sendiri maklumat terkini dari lokasi kejadian,” tambahnya.

Berdasarkan akaun Facebook miliknya, Andrew sudah berada di negeri ini sejak awal bulan ini dan turut melawat serta berada di Taman Negara Similajau pada 5 Oktober, sebelum meneruskan perjalanannya ke Miri.

Pada 15 Oktober, dia memuat naik statusnya, memberitahu bahawa dia sempat meluangkan masa di Taman Negara Niah dan menghabiskan masa berkhemah di situ selama enam malam dan itulah statusnya yang terakhir di akaun Facebooknya.

Andrew dipercayai meneruskan perjalanannya ke bandar raya Miri dan berlepas ke Mulu pada 18 Oktober, dengan kali terakhir dia dilihat pada pagi 20 Oktober, sebelum berangkat ke Taman Negara Gunung Mulu.