Sarawak tuan rumah AFC Solidarity Cup Malaysia 2016

0

KUCHING: Selepas Kejohanan Terjun Siri Dunia Fina 2016 yang tamat baru-baru ini, Sarawak sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dan kali ini adalah Asian Football Confederation (AFC) Solidarity Cup Malaysia 2016.

Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kejohanan bola sepak tersebut akan berlangsung di Stadium Negeri dan Stadium Sarawak di Petra Jaya pada 2 hingga 15 November nanti.

“Pemilihan Kuching sebagai venue kejohanan ini adalah dibuat oleh AFC dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan saya percaya pemilihan ini adalah disebabkan kemudahan sukan kita yang bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini semalam.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Razali Dolhan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee.

Menjelas lanjut, Karim berkata kejohanan tersebut akan disertai pasukan- pasukan daripada kalangan negara Asia seperti Brunei Darussalam, Timor Leste, Laos, Macau, Nepal, Sri Lanka dan Mongolia.

Walaupun Malaysia tidak tersenarai dalam kejohanan ini, Karim turut menyeru peminat-peminat bola sepak tempatan datang beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan antara semua pasukan.

Beliau menambah, kemasukan ke stadium juga adalah percuma di mana setiap perlawanan akan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen Fox.

“Saya berharap ramai orang datang menyaksikan setiap perlawanan sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa kita mempunyai budaya menyaksikan bola sepak yang tinggi,” katanya.