Wanita dikhuatiri patah tulang kaki dirempuh kereta

0

KUCHING: Seorang wanita dikhuatiri patah tulang kaki akibat tercampak selepas keretanya dirempuh ketika dia sedang memunggah barang di hadapan rumahnya di sini semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 38 tahun itu dikatakan baharu tiba di rumahnya di Jalan Urat Mata, di sini dan terus memunggah barang dari dalam keretanya masuk ke dalam van syarikat tempat dia bekerja sekitar jam 7 pagi.

Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh bahagian hadapan kereta mangsa.

“Ketika itu mangsa sedang memunggah barang dari dalam keretanya apabila sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan terbabas lalu merempuh bahagian hadapan keretanya.

“Impak rempuhan tersebut menyebabkan kereta mangsa berganjak sehingga mangsa yang sedang berdiri di belakang kereta turut tercampak,” kata sumber.

Keluarganya yang menyedari insiden tersebut kemudian segera membantu mangsa selain turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan kecemasan.

“Pemandu kereta yang merempuh kereta mangsa mendakwa dia tiba-tiba mengalami sakit kepala menyebabkan dia gagal mengawal keretanya sehingga menyebabkan ia terbabas,” kata sumber.

Mangsa telah diberi rawatan kecemasan di tempat kejadian oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.