Lee Long bebas

0

Oleh Reno Benjamin//

BEBAS: Lee Long (dua kanan), Ang Ho (tiga kanan) bersama-sama dengan peguam bela mereka.

BEBAS: Lee Long (dua kanan), Ang Ho (tiga kanan) bersama-sama dengan peguam bela mereka.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskan lima ahli kumpulan Lee Long daripada hukuman dan sabitan bagi lapan tuduhan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap mereka pada 22 Disember tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Alwi Abdul Wahab membenarkan permohonan Wong Leh Yin @ Lee Long dan empat yang lain bagi mengetepikan hukuman yang dijatuhkan.

Dalam penghakimannya, Dr Alwi mendapati kredibiliti saksi pertama pihak pendakwa (PW1), PW16 dan PW19 bukan lagi satu isu.

Oleh itu, katanya, keputusan yang dibuat oleh mahkamah sebelum ini adalah salah dan sangat serius.

Beliau juga memberitahu, hakim mahkamah lebih rendah harus mengkaji semula bukti pihak pendakwaan sebelum membuat keputusan muktamad.

Dr Alwi juga memberitahu, beliau akan memberikan penghakiman penuh jika terdapat apa-apa rayuan terhadap keputusan yang dibuat.

Pada 22 Disember tahun lepas, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara berserta denda RM20,000 atau satu tahun penjara bagi satu pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 365 Kanun yang sama terhadap perancang utama kumpulan yang juga tertuduh kelima, Wong Leh Yin @ Lee Long.

Sementara tertuduh pertama iaitu Wong Kong Yeu dijatuhi hukuman 17 tahun penjara berserta satu sebatan, selain denda sebanyak RM40,000 bagi tiga pertuduhan. Tertuduh kedua, Hii Chie Ping yang menghadapi empat pertuduhan, dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan dua sebatan, selain denda sebanyak RM40,000.

Yong King Lung yang merupakan tertuduh keenam dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda sebanyak RM50,000 bagi tiga pertuduhan. Tertuduh kelapan iaitu Lau Ang Ho yang menghadapi empat pertuduhan, dikenakan hukuman penjara 10 tahun penjara berserta denda sebanyak RM55,000.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengugut Kueh Chiow Huat pada 7 Februari, 2007, kira-kira jam 9 pagi di No.24D, Jalan Laichee dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa merompak harta milik Kueh Chiow Lee pada 9 Februari, 2007, kira-kira jam 3 petang di No.7A, Jalan Sawi dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pertuduhan ketiga, mereka didakwa pada 11 Februari, 2007, kira-kira jam 8 malam dan 24 Februari, 2007, kira-kira jam 1 petang di No.24D, Jalan Laichee telah mengurung secara salah Kueh Chiow Huat selama 14 hari, satu kesalahan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Bagi pertuduhan keempat yang dikenakan terhadap Leh Yin, dia didakwa bersubahat dengan tujuh tertuduh yang lain untuk menculik Kueh Chiow Huat, dengan niat hendak mengurung mangsa di empat tempat antara 6 Februari, 2007, kira-kira jam 7 malam dan 11 Februari, 2007, kira-kira jam 1 petang.

Mereka didakwa menculik dan mengurung secara salah Kueh Chiow Huat antara 6 Februari, 2007, kira-kira jam 7 malam dan 11 Februari, 2007, kira-kira jam 1 petang di empat tempat serta didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama bagi pertuduhan kelima.

Pertuduhan keenam pula bagi kesalahan mendatangkan kecederaan kepada Kueh Thoo Yong pada 11 Februari, 2007, kira-kira jam 3 petang di No.4B, Lorong 18B, Jalan Deshon dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan seterusnya, mereka didakwa mendatangkan kecederaan parah kepada Kueh Chiow Huat di lima tempat antara 6 Februari, 2007, kira-kira jam 7 malam dan 9 Februari, 2007, kira-kira jam 6 petang, satu kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun yang sama.

Pertuduhan terakhir pula melibatkan dakwaan mendatangkan kecederaan kepada Kueh Chiow Huat dengan menggunakan senjata serta lain-lain benda berbahaya antara 10 Februari, 2007, kira-kira jam 6 petang dan 11 Februari, 2007, kira-kira jam 7 malam di No.4B, Lorong 18B, Jalan Deshon.

Kesalahan ini dibaca mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Robert Pasang Alam yang mengetuai pihak pendakwaan akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Kesemua perayu diwakili oleh peguam bela Shankar Asnani, David Kuok, Orlando Chua, Victor Lau, Stanley Ting, Augustine Liom dan Daniel Ling.