Polis sangkal dakwaan rakyat Malaysia terlibat penculikan di Sipadan

0

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya rakyat Malaysia terlibat dengan penculikan di Pulau Sipadan, Sabah pada 2000.

Beliau berkata Nur Misuari tidak sepatutnya mengaitkan rakyat Malaysia dengan penculikan itu.

“Itu dakwaan dia, yang menjadi masalah kepada kita adalah orang dia… orang-orang dia yang menjadi penjenayah menculik rakyat kita. Sepatutnya dia jaga orang dia. Kenapa kita pulak yang dipersalahkan?,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan media antarabangsa mengenai kenyataan Nur Misuari yang mendakwa rakyat Malaysia terlibat dengan penculikan di Pulau Sipadan pada 2000 bagi mendapat wang tebusan.

Nur Misuari dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti bagi dakwaan berkenaan dan akan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan termasuk mahkamah antarabangsa.

Pada April 2000, seramai 10 warga Malaysia dan 11 warga asing diculik kumpulan bersenjata di Pulau Sipadan.

Terdahulu, Khalid melancarkan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak (NUR Alert) di laman sosial Facebook, di Bukit Aman, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Kepercayaan dan Keselamatan Facebook, Emily Vacher. — Bernama