Tujuh keluarga terjejas

0

ta04445

MARAK: Api memusnahkan berek kediaman anggota di Blok 27, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10, semalam.

MARAK: Api memusnahkan berek kediaman anggota di Blok 27, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10, semalam.

Sembilan daripada 10 unit berek anggota PGA Batalion 10 musnah dalam kebakaran awal pagi.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Sembilan daripada 10 unit berek kediaman anggota di Blok 27, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 yang didiami 37 penghuni musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 6.15 pagi semalam.

Selain menjejaskan tempat tinggal tujuh keluarga di blok berkenaan, kebakaran yang dipercayai berpunca dari bahagian bawah dapur rumah pintu nombor empat turut menjejaskan penghuni yang tinggal di blok bertentangan selepas sumber elektrik terpaksa diputuskan oleh pihak SESCo sebagai langkah keselamatan.

Bahana kebakaran juga menyebabkan empat kereta jenis Perodua Alza, Perodua Kembara, Perodua Myvi dan Perodua Rusa serta tiga motosikal terbakar dan tidak dapat diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, sembilan daripada 10 pintu berek yang dihuni tujuh keluarga terjejas dan musnah.

“Empat kereta dan tiga motosikal milik penghuni di situ juga terbakar dalam insiden pagi tadi (pagi semalam),” katanya yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, semua penghuni yang terjejas akan ditempatkan di rumah PersatuaN Keluarga Polis (PERKEP), berek lain dan rumah pegawai Batalion 10 PGA sementara menunggu tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan rapi mengenai punca kebakaran dan kebajikan keluarga yang terjejas akan dijaga,” jelasnya.

Sementara itu, pihak Tabung Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tampil untuk menghulurkan bantuan awal seperti menyediakan beberapa kotak air mineral di lokasi.

Turut turun padang menghulurkan bantuan ialah ADUN Dudong Datuk Tiong Thai King.

Sumbangan derma daripada pihak kerajaan berjumlah RM10,000 telah diserahkan oleh Tiong kepada pihak Tabung Baitulmal bagi pihak mangsa yang terjejas.

Sementara itu, Komander Briged Sarawak SAC Khaw Koo Chin turut mengadakan lawatan untuk meninjau tapak kebakaran sekitar jam 5 petang semalam.

Beliau juga meluahkan rasa simpati terhadap penghuni yang ditimpa musibah tersebut dan berjanji akan memberi segala bantuan yang diperlukan terutama menyedia tempat tinggal sementara kepada mereka.

“Kita akan mengadakan mesyuarat untuk memastikan mereka yang terjejas akan diberi segala bantuan yang diperlukan,” jelasnya.

Katanya, pihaknya telah meminta pihak SESCo untuk menyediakan set jana kuasa bagi membekalkan sumber elektrik kepada penghuni lain yang tinggal di berek bertentangan selepas bekalan elektrik terpaksa diputus selepas kebakaran tersebut.

“Kita akan memberi bantuan yang sewajarnya dan tidak akan mengabaikan kebajikan mereka yang terjejas.

“Buat masa ini, biarlah pihak polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran,” jelasnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib dan pelbagai agensi yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan serta mengambi berat terhadap mangsa yang terjejas.

Dalam kejadian tersebut, pihak bomba dari BBP Sibu yang menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 pagi bergegas ke lokasi dengan kekuatan 22 anggota bersama tiga jentara pemadam, masing-masing sebuah EMRS dan Hilux.

Kebakaran terkawal pada jam 7.01 pagi dan operasi terkawal sepenuhnya pada 7.27 pagi.

Komander Operasi, TPgB Abdul Mutalif Jaafar juga melaporkan kebakaran melibatkan satu  Blok 10 pintu kuarters milik PGA Batalion 10 dengan struktur binaan jenis kayu.

Katanya, lapan pintu telah terbakar pada kadar 100 peratus, sebuah pintu 50 peratus dan sebuah lagi tidak terjejas dalam kebakaran itu.

Berek kediaman anggota yang terbakar tersebut berusia 41 tahun sejak ia dibina dan didiami pada 1975.