TPRL dinamakan Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak

0

KOTA SAMARAHAN: Makmal Penyelidikan Tanah Gambut Tropika (TPRL) di sini diberi nama baharu iaitu Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak.

Perkara itu diumumkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menyempurnakan majlis perasmian kompleks itu semalam.

Pembinaan kompleks merupakan idea Tun Taib dan telah beroperasi sejak 2015.

Tun Taib memberitahu, kerajaan negeri mengambil keputusan menubuhkan TPRL untuk melakukan kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan tanah gambut tropika di Sarawak dengan penekanan kepada kepentingan tanah gambut tropika dan kesan-kesannya terhadap alam sekitar.

Katanya kerajaan negeri juga mengambil berat terhadap dakwaan-dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Eropah yang berusaha mengharamkan pengimportan minyak kelapa sawit dihasilkan daripada kelapa sawit ditanam di tanah gambut tropika.

Ini kerana menurut Tun Taib, NGO terbabit mendakwa penanaman kelapa sawit di tanah gambut tropika menyumbang kepada pemanasan global disebabkan peningkatan kadar pembebasan gas rumah hijau.

Tambahnya, reaksi negatif NGO asing hanya dapat diatasi dengan berkesan menerusi penyediaan data saintifik yang diperakui kesahihannya.

“Oleh itu, TPRL ditubuhkan bagi membolehkan penyelidikan lebih fokus dilakukan ke atas tanah gambut tropika dan pada masa sama menyediakan ‘locus standi’ antarabangsa sebagai sebuah organisasi penyelidikan.

“Hari ini, menerusi kerja keras pasukan penyelidik kita diketuai Dr Lulie Melling, TPRL kini mampu bangkit dan menyuarakan penemuan saintifik Sarawak, kebimbangan mengenai isu-isu global dan menangkis sebarang dakwaan spekulatif ke atas dasar-dasar pembangunan negeri ini,” ujarnya.

Tun Taib juga menyatakan beliau berbangga dengan kejayaan-kejayaan dilakar TPRL, membolehkan sektor swasta membangunkan beberapa kawasan tanah gambut yang  tidak hanya mengubahkannya menjadi kawasan komersial tetapi pertanian mapan lebih-lebih lagi perladangan kelapa sawit.

“Kerja keras TPRL dan keputusan-keputusan sektor swasta membangunkan kawasan rendah di pesisir negeri ini bagi pertanian dan perladangan telah menyumbang kepada pembangunan luar bandar dan negeri ini secara keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya perasmian kompleks itu melakar satu lagi sejarah negeri ini kerana TPRL akan berkhidmat sebagai tulang belakang penyelidikan di Sarawak serta menyediakan landasan kerjasama dengan pihak antarabangsa.