Aktivis dibawa ke Kuching bantu siasatan

0

Suspek dipercayai kendali akaun ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ direman lima hari

// Oleh Reno Benjamin //

REMAN: Suspek (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas ditahan reman lima hari.

REMAN: Suspek (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas ditahan reman lima hari.

SIBU: Seorang aktivis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ yang ditahan di sini Rabu lepas diperintah ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Suspek berusia 48 tahun, ditahan jam 2.40 petang Rabu lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1), Akta Hasutan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lebih dikenali dengan nama samaran Beng Kor, suspek akan dibawa ke Kuching bagi membantu siasatan polis berhubung kenyataan palsu  dikeluar dalam akaun Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’, yang turut mengaitkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Dalam laporan media kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Datuk Dev Kumar memberitahu, 13 laporan diterima polis setakat jam 3 petang Rabu lepas.

Pada tahun lepas, suspek memainkan peranan utama dalam pergerakan Sarawak for Sarawakian (S4S) telah didakwa di bawah Seksyen 249, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suspek didakwa kerana enggan memberikan nama pengguna (Username) dan kata laluan bagi akaun Facebook miliknya kepada pihak polis berhubung komen yang dikeluar.