Menyorok di loteng

0
TUMPAS JUA: Suspek berjaya ditangkap anggota polis untuk tindakan selanjutnya.

TUMPAS JUA: Suspek berjaya ditangkap anggota polis untuk tindakan selanjutnya.

KUCHING: Polis mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menangkap seorang lelaki yang bersembunyi di loteng rumahnya di Kampung Bintawa Hilir di sini semalam selepas didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki baru-baru ini.

Menurut sumber, suspek, 47, diburu sejak beberapa hari lepas ekoran laporan polis yang dibuat mendakwa suspek telah meliwat seorang kanak-kanak berusia empat tahun, juga berasal dari kampung yang sama.

Difahamkan, suspek yang mengalami masalah mental sering melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis sehingga semalam dia bertindak bersembunyi dan mengancam akan membakar rumahnya.

“Satu laporan polis telah dibuat mendakwa suspek meliwat seorang kanak-kanak lelaki baru-baru ini dan sejak itu beberapa kali cubaan menangkapnya oleh pihak polis gagal kerana dia sanggup menggadai nyawanya sendiri untuk melarikan diri.

“Semalam (Rabu), dia telah bersembunyi di bawah jambatan dan hari ini (semalam) dia bersembunyi di loteng sambil turut mengugut akan menbakar rumah atau bertindak mencederakan diri jika pihak polis tidak beredar.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap pada jam 11.15 pagi tadi (semalam) selepas kira-kira tiga jam bersembunyi di loteng rumahnya sambil membawa pisau,” kata sumber.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya juga dikerah ke tempat kejadian sebagai langkah berjaga-jaga apabila suspek beberapa kali menyalakan api.

“Oleh kerana usaha memujuk suspek gagal dan menemui jalan buntu, pasukan bomba terpaksa membuat semburan air dan dihalakan kepadanya menyebabkan dia terjun ke bawah rumah dan berjaya ditangkap polis selepas itu,” kata  jurucakap bomba.

Menurutnya lagi, suspek pada Rabu lepas bertindak bersembunyi di bawah Jambatan Tun Abang Salahuddin dengan membawa senjata tajam.

“Pasukan bomba dan polis tidak berjaya memujuknya untuk naik ke atas dan difahamkan dia balik sendiri ke rumah pada jam 2 pagi tadi (semalam),” katanya.

Keluarga kanak-kanak lelaki yang didakwa diliwat mangsa juga hadir di lokasi kejadian semalam dan hampir tidak dapat menahan emosi sehingga cuba menyerang suspek, namun berjaya ditenangkan oleh orang ramai.

Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut.