Borneo Spectrum tubuh KSDS pertahan muzik tradisi Dayak

0
PERTAHANKAN SAPE: Anthony (kiri) bersama anggota Borneo Spectrum serta ahli KSDS yang lain.

PERTAHANKAN SAPE: Anthony (kiri) bersama anggota Borneo Spectrum serta ahli KSDS yang lain.

SIBU: Kumpulan muzik tradisional dikenali sebagai Borneo Spectrum akan menubuhkan Kelab Sape Dayak Sibu (KSDS).

Ketua kumpulannya Anthony Abong berkata, setakat ini mereka sudah berjaya mengumpul sebanyak 35 ahli.

“Bermula dari Borneo Spectrum, KSDS ini ditubuhkan. Melalui kumpulan muzik yang kami tubuhkan ini yang banyak berasaskan muzik sape turut mendapat sambutan.

“Sebenarnya, banyak orang di luar sana berminat dengan sape. Itu sebab kami mendapat idea mahu menubuhkan KSDS,” katanya semasa ditemui di sini, malam kelmarin.

Beliau memberitahu, objektif penubuhan KSDS ini adalah untuk mempertahankan seni masyarakat Dayak daripada pupus terutamanya bermain alat muzik tradisional sape.

“Kita berharap tertubuhnya KSDS ini akan menyediakan satu landasan untuk golongan muda terlibat dalam aktiviti sihat ini sekali gus mempertahankan warisan bermain sape.

“Kalau bukan kita siapa lagi kerana sape kian dilupakan golongan muda  disebabkan ledakan arus perdana kecanggihan teknologi masa kini,” tambahnya lagi.

Bercakap mengenai KSDS ini, Anthony memberitahu bahawa mereka dijemput membuat persembahan pada Anugerah Junior Chambers Internationl (JCI) pada 26 November ini bertempat di Hotel Kingwood Sibu.

Katanya, antara persembahan mereka nanti ialah persembahan sape, ngajat, menyambut tetamu dan memperagakan ‘Baju Gagong’.

“Kita berasa gembira untuk terlibat dalam acara bertaraf antarabangsa itu kerana KSDS masih baharu.

“Kita berterima kasih dengan pihak penganjur kerana menyediakan platform untuk kita mengetengahkan budaya/warisan Dayak di peringkat sebegitu,” jelasnya lagi.