Peranan pengakap boleh diguna pakai bantu tugas kecemasan negara

0

BINTULU: Pergerakan pengakap masih relevan dan diperlukan dalam membantu tugas untuk kecemasan negara terutama membabitkan bantuan mangsa bencana, kemalangan dan sebagainya.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur merangkap Menteri Muda Urbanisasi, Datuk Talib Zulpilip berkata, slogan sentiasa bersedia setiap masa, budaya sukarelawan dalam pergerakan pengakap perlu terus dipertingkat meskipun satu ketika dahulu tugas  menjurus kepada bantuan kemanusiaan selepas peperangan.

Katanya, aktiviti pergerakan pengakap perlu disesuai keadaan negara hari ini seperti khidmat banjir yang memerlukan pasukan menghantar bekalan makaanan serta khemah untuk mangsa.

“Ahli pergerakan pengakap membantu dalam kerja amal berkaitan bersama agensi lain,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Persekutuan Pengakap Daerah Bintulu di sebuah hotel terkemuka malam kelmarin.

Beliau berkata, ahli pengakap dilatih dengan pelbagai bidang kemahiran maka tugas berkaitan tentu lebih mudah untuk dilakukan.

“Penekanan disiplin dan semangat ingin membantu dalam pergerakan pengakap jika dipupuk tentunya peranan itu masih relevan pada hari ini,” tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak itu berkata, banyak aktiviti yang boleh dibuat oleh pergerakan pengakap dan saya yakin pengakap boleh membentuk anak-anak yang baik sekiranya dididik dengan semangat membantu, sifat kepimpinan dan tahan lasak.

Menurutnya, pada satu ketika dahulu pengakap diterajui guru dan murid sekolah berperanan besar dalam memimpin serta mengurus beberapa aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu merangkap Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Bintulu, Abdul Mu’in Abdul Kassim berkata, pergerakan pengakap di sini perlu berusaha dan berdikari untuk mencari dana sendiri tanpa terlalu berharap dengan sumbangan dan penajaan orang ramai untuk menggerakkan aktiviti mereka.

“Sekiranya usaha mendapatkan dana dengan titik peluh sendiri seperti yang dilakukan oleh ahli pergerakan pengakap generasi dahulu maka usaha seumpamanya akan lebih dihargai,” katanya.

Katanya, tahun hadapan pelbagai aktiviti untuk pendedahan dan meningkatkan kemahiran akan disertai ahli-ahli pengakap Bintulu di peringkat negeri dan antarabangsa.

Jelasnya, 32 ahli pengakap Bintulu akan dihantar menyertai Jamboree Pengakap Antarabangsa di Kuala Lumpur pada penghujung November ini.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Bintulu Abdul Rahim Harmi pula berkata, pengakap akan terus memberi khidmat bakti dalam apa juga aktiviti sekiranya diperlukan di Bintulu.

Katanya, pihaknya berhasrat melahirkan pengakap raja pertama menjelang tahun 2021 sekali gus berterima kasih atas sokongan dan bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah kepada pergerakan pengakap di sini.

Pada majlis itu, Talib mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada Pergerakan Pengakap Daerah Bintulu. Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Fred Entau.