Tarik balik semua IC yang dikeluarkan di Sabah: UPKO

0

Usaha untuk selesaikan masalah IC palsu kalangan PATI

PENAMPANG:  PertubuhanPasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mencadangkan agar semua Kad Pengenalan (IC) yang dikeluarkan di Sabah ditarik balik bagi menyelesaikan isu IC palsu di negeri ini.

Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, biarpun laporan Siasatan mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (RCI) sudah dikeluarkan namun isu ini belum diselesaikan sepenuhnya.

Cadangan mengeluarkan semula IC baharu ini hasil daripada tinjauan yang dibuat UPKO di hampir semua penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negeri.

“Dapat dirangkumkan jawapan hampir semua responden mengaku bahawa mereka menyeludup masuk ke negara ini dan tidak lama kemudian mendapat IC yang sah tetapi dengan memberi sogokan kepada pegawai sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 untuk setiap satu kad pengenalan,” katanya ketika berucap semasa Perasmian Persidangan Konvensyen UPKO 2016 di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini kelmarin.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Madius berkata, beliau percaya satu-satunya cara untuk menangani isu ini ialah dengan menarik balik semua IC negara yang dikeluarkan di Sabah.

“Setelah diteliti oleh semua pihak yang berkepentingan dan kemudiannya diambil tindakan yang sewajarnya. Kalau orang macam saya, pastinya proses penelitian itu memakan hanya beberapa minit sebelum dikeluarkan kembali,” katanya.

Beliau percaya perkara ini boleh dilakukan kerana sudah beberapa kali IC ditukar.

Ia mungkin akan mengambil sedikit masa namun, hasilnya pasti memberi kebaikan kepada semua pihak.

Menurutnya, UPKO betul-betul ingin melihat perkara ini dilaksanakan bagi memastikan kedaulatan negara ditegakkan dan dihormati tanpa sebarang kompromi.

Dalam paparan YouTube yang ditayangkan semasa perasmian persidangan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mengakui terlibat dalam projek mengeluarkan IC kepada PATI.

Mengenai pembaharuan Kad IMM 13, UPKO berpendapatan kerajaan tidak boleh berterusan membenarkan pembaharuan dokumen itu dilakukan kepada 84,000 pemegang IMM 13 di Sabah.

“Apa yang lebih praktikal adalah berhenti memperbaharui dokumen itu agar mereka (PATI) kembali ke negara asal,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menangani kejadian penculikan di Sabah, UPKO menggesa kerajaan menggantung serta-merta penggunaan ‘pump boat’ di perairan negara. Selain itu, aset-aset seperti helikopter wajib ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) agar tindakan segera dapat diambil.