Surat bongkar rahsia

0

Oleh Andy Sabang//

DIREMAN: Suspek kes cabul (kiri) dan rogol (kanan) keluar dari van polis selepas masing-masing diperintahkan menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.

DIREMAN: Suspek kes cabul (kiri) dan rogol (kanan) keluar dari van polis selepas masing-masing diperintahkan menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.

SIBU: Keterlanjuran seorang gadis bawah umur dengan kekasihnya berusia 32 tahun terbongkar susulan penemuan sepucuk surat.

Kelmarin ibu bapa gadis terbabit menemui sepucuk surat di rumah mereka di Jalan Oya di sini dipercayai milik suspek.

Surat tersebut dipercayai ditujukan kepada anak perempuan mereka yang berusia 15 tahun.

Dalam surat tersebut, suspek yang merupakan kenalan ayah mangsa bertanyakan tentang kitaran haid mangsa.

Pasangan suami isteri yang berasa curiga dengan isi kandungan surat terbabit, kemudian memanggil mangsa dan memintanya  menceritakan hal sebenar.

Mangsa mulanya berdiam diri sehingga memaksa ibu bapanya mencari suspek untuk meminta penjelasan.

Selepas diasak dengan pertanyaan berkali-kali akhirnya kedua-dua mereka mengaku sebagai pasangan kekasih dan pernah mengadakan hubungan seks.

Kecewa dengan penjelasan tersebut, ibu bapa mangsa akhirnya mengambil keputusan membuat laporan polis.

Suspek tidak lama kemudian diberkas dan ditahan reman selama tujuh hari.

Dalam kes berasingan, seorang datuk berusia 56 tahun turut ditahan polis kerana dituduh mencabul kehormatan cucu perempuan kandungnya berusia lapan tahun.

Penahanan itu dilakukan selepas ibu bapa mangsa tampil membuat laporan polis petang kelmarin.

Mangsa tinggal bersama suspek di rumah mereka, Jalan Lanang di sini ketika orang tuanya keluar rumah.

Insiden tersebut terbongkar selepas mangsa menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada ibu dan bapanya.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah mengesahkan menerima laporan kedua-dua kejadian itu.