UNIMAS berjaya lahir 16 usahawan melalui program SME@Unimas 2016

0

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya melahirkan seramai 16 usahawan melalui program SME@Unimas 2016, kata Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Beliau berkata, ia hasil kerjasama UNIMAS dan SME Corporation dengan memberi latihan dalam pembaharuan organisasi perniagaan.

Jelasnya dengan itu ia memperlengkapkan mereka dengan kemahiran dalam menghadapi apa jua cabaran dalam bidang perniagaan.

“UNIMAS sentiasa berusaha menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan kerana ia dapat memberi nilai tambah kepada pelajar untuk mempersiapkan diri dalam persaingan mendapatkan pekerjaan kelak.

“Penubuhan Pusat Pembangunan Keusahawanan (PPK) dijadikan sebagai platform untuk pelajar menimba ilmu dan kemahiran dalam bidang perniagaan di samping bertindak sebagai urus setia di peringkat universiti dalam mengendalikan Public-Private Research Network (PPRN),” katanya.

Beliau berucap pada Sidang Kedua Konvokesyen UNIMAS Ke-20 yang disempurnakan oleh Pro Canselor UNIMAS Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini, semalam.

Kadim berkata, UNIMAS yakin bahawa ia tidak hanya melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademiknya tetapi cemerlang dalam bidang keusahawanan.

Bukan itu sahaja kata beliau, UNIMAS juga pada tahun ini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pusat Pembangunan Kerjaya yang terbaik antara universiti awam di Malaysia oleh TalentCorp Malaysia.

“Ia merupakan satu pengiktirafan rakan-rakan industri dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang prihatin akan dedikasi serta komitmen universiti untuk memastikan graduannya mempunyai ciri-ciri yang berpadanan dengan keperluan kerjaya masa kini,” katanya.

Sementara itu sidang kedua konvokesyen itu semalam, menyaksikan penyampaian ijazah kepada 1,232 graduan daripada dua fakulti.

Ia adalah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB) dengan seramai 529 graduan daripada lapan program FEB iaitu Ekonomi Perkhidmatan, Perakaunan, Ekonomi Perniagaan, Kewangan, Ekonomi Antarabangsa, Pemasaran, Pengurusan Korporat dan Ekonomi Industri.

Turut disampaikan ijazah kepada graduan daripada Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dengan seramai 703 orang daripada enam jenis program fakulti iaitu Muzik, Drama dan Teater, Seni Halus, Teknologi Seni Reka, Sinematografi dan Pengurusan Seni.