KPDNKK Mukah buat rampasan RM368,516, kompaun RM16,300

0

MUKAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mukah berjaya membuat rampasan bernilai RM368,516.86 dan kompaun sebanyak RM16,300 sehingga semalam bagi pelbagai kesalahan sepanjang tahun.

Menurut Ketua Cawangan KPDNKK Mukah Moss Baok, sebanyak 72 kes dicatat di kawasan Mukan setakat ini.

“Nilai rampasan (barangan) dan kompaun adalah jumlah terkini dicatatkan sepanjang tahun 2016,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata demikian ketika Ops Bersepadu KPDNKK bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mukah, Majlis Daerah Mukah Dalat (MDDM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mukah semalam di beberapa premis makanan di sini.

Setelah tamat operasi, tiada sebarang kes dicatatkan oleh mana-mana agensi terlibat ke atas pemeriksaan ke atas beberapa premis makanan.

“Semua premis makanan mempunyai penandaan harga jelas, tiada penyalahgunaan logo halal di samping premis menjaga kebersihan dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai stok minyak masak peket satu kilogram (1kg) bersubsidi, pihaknya membuat pantauan setiap hari ke atas barangan berkenaan dan tiada masalah kekurangan serius dicatatkan.

“Ada antara premis habis stok minyak masak (1 kg) tetapi premis lain masih ada stok berkenaan,” jelas sambil menambah premis besar tidak mempunyai masalah kekurangan bekalan untuk minyak dua hingga lima kilogram.