Kejayaan besar

0

Oleh Rosemaria Buma//

TERLARANG: Khoo (tiga kiri) bersama Stanley (dua kiri) dan Fikri (tiga kanan) menunjukkan lima jenis dadah yang dirampas daripada suspek petang kelmarin.

TERLARANG: Khoo (tiga kiri) bersama Stanley (dua kiri) dan Fikri (tiga kanan) menunjukkan lima jenis dadah yang dirampas daripada suspek petang kelmarin.

MIRI: Polis Miri berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah antarabangsa dengan penangkapan seorang peniaga dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk empat ketul ganja mampat bernilai RM103,200.

Tangkapan ke atas suspek dibuat hasil serbuan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri di dua lokasi berasingan di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, berikutan tangkapan dan rampasan itu, suspek yang berusia 24 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Ketua BSJND Miri ASP Muhd  Hurriyatul Fikri Sairin Karno membuat serbuan ke atas sebuah rumah di MDL Garden di sini.

Dalam serbuan pada jam 1.15 petang itu, polis menahan seorang lelaki yang sedang berada di hadapan rumah tersebut untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 20 keratan timah berwarna merah/perak dengan setiap satu keratan mengandungi 10 biji pil disyaki Eramin 5 yang disimpan di dalam beg sandangnya dan satu bungkusan plastik hitam berisi satu kotak tertera tulisan ‘Soya Bean Powder’ berisi dua bungkusan plastik masing-masing mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah ganja seberat 1.035kg di dalam sebuah kenderaan jenis Hilux milik suspek.

“Seterusnya, polis dengan dipandu arah suspek pergi ke sebuah rumah di kawasan Tanjung Lobang dan merampas satu kotak bertulis ‘Soya Bean Powder’ berisi satu bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja dengan anggaran berat 915 gram.

“Turut dirampas satu lagi kotak jenis sama berisi satu bungkusan plastik mengandungi ketulan-ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 156 gram dan 90 keratan timah warna merah/perak (setiap satu mengandungi 10 pil) dipercayai dadah jenis Eramin 5,” katanya.

Selain itu, menurut Khoo, polis turut merampas satu kotak berwarna hitam tertera tulisan ‘Dunhill’ berisi satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 8 gram, satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki Ketamine seberat 25.4 gram dan tiga peket plastik lutsinar masing-masing mengandungi dadah disyaki ekstasi berjumlah 60, 200 dan 300 biji.

Satu lagi kotak berisi alat penimbang digital dan wang tunai RM9,000 turut dirampas dalam serbuan itu.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di sini semalam. Hadir sama Timbalannya Superintenden Stanley Jonathan Ringgit, Ketua BSJND Miri ASP Fikri serta pegawai kanan polis lain.

Sehubungan itu, menurut Khoo, hasil serbuan di dua lokasi berasingan itu, polis berjaya merampas (jumlah keseluruhan) dadah jenis ganja seberat 2.106kg, Eramin 5 (1,100 biji), ekstasi (560 biji), syabu (8 gram) dan Ketamine (25.4 gram).

“Hasil siasatan awal polis mendapati dadah-dadah yang dirampas daripada suspek adalah untuk diedarkan ke negara jiran dan kejayaan ini juga merupakan hasil kerjasama BSJND Miri dengan kerjasama Polis Narkotik Brunei,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Khoo, suspek yang bekerja sendiri serta turut membantu menguruskan perniagaan cuci kenderaan milik keluarga dipercayai telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu sejak enam hingga lapan bulan sebelum ditangkap.

“Siasatan awal polis juga mendedahkan bahawa dadah-dadah ini telah dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia ke Miri, namun belum dapat dipastikan kaedah yang diguna untuk membawa masuk barang terlarang tersebut ke sini,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurut Khoo, polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui bagaimana dadah itu boleh dibawa masuk ke sini.

Katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.