Mathew dianugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak 2016

0

KUCHING: Pemuzik sape terunggul, Mathew Ngau Jau yang turut digelar sebagai ‘Sape Master’ dianugerahkan sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri Sarawak bagi tahun 2016.

Penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan ke atas sumbangannya yang telah memberi impak besar kepada dunia seni muzik tanah air sehingga ke peringkat antarabangsa.

Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini malam Jumaat lalu.

Abdul Karim hadir mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Dalam ucapan penghargaannya, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak Zaifri Husin berkata anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang telah memperlihatkan ketokohan dan memberi sumbangan kepada perkembangan seni tanah air.

“Sumbangan dan bakti yang diberikan oleh penggiat seni budaya negeri perlu dilihat sebagai satu sumbangan besar kepada pembangunan dan perkembangan seni tanah air,” katanya.

Pemilihan Mathew sebagai penerima anugerah tokoh ini telah dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria serta sumbangan beliau kepada industri muzik tanah air.

Antara sumbangan anak seni yang berasal dari Sungai Baram ini ialah memperkenalkan muzik sape di mata dunia menerusi persembahan-persembahan di peringkat antarabangsa.

Jerman, Perancis, Australia dan Amerika Syarikat merupakan antara pentas antarabangsa yang pernah mengundang beliau untuk membuat persembahan sape selain Milan, Itali dan Johannesberg, Afrika Selatan.

Kebolehan beliau tidak hanya terhad kepada bermain muzik sape semata-mata malah turut menghasilkan alat muzik sape serta lukisan-lukisan tradisi, menari ngajat dan sebagainya.

Beliau juga memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat mempelajari kesenian ini terutaman penginap di Tuyang Longhouse, inap desa yang diusahakannya kini.

Mathew juga merupakan penerima Anugerah Warisan Kebangsaan pada 11 Ogos 2015 oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Malaysia.

Pengalaman luasnya dalam seni muzik sape turut menjadikan beliau sebagai pakar rujuk dalam bidang muzik sape kepada para siswazah tentang kajian sape.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop.