Kekalkan semangat perjuangan

0

Khairy harap barisan pertahanan negara dapat dimantapkan bagi laluan mudah ke separuh akhir

TANJUNG MALIM: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu skuad bola sepak negara di Piala AFF Suzuki mengekalkan semangat juang yang ditampilkan ketika menewaskan Kemboja 3-2, apabila berdepan Vietnam, Rabu ini (esok).

Pada masa sama, Khairy berharap barisan pertahanan negara dapat dimantapkan lagi agar skuad Harimau Malaysia dapat sekurangkurangnya memperolehi satu mata berdepan juara 2008 itu, bagi memudahkan laluan ke separuh akhir.

“Saya ucapkan tahniah kepada Harimau Malaysia. Ia satu kemenangan yang walaupun sukar dicapai, akhirnya dapat disempurnakan juga.

“Namun saya harap (jurulatih) Datuk Ong Kim Swee dapat menyediakan pemain menghadapi cabaran yang lebih besar menentang pasukan pilihan Vietnam nanti,” katanya.

Beliau diminta mengulas persembahan skuad negara selepas merasmikan Jelajah Kampus Rakan Muda 2016 di Universiti Pendidikan Sultan Idris kampus Sultan Abdul Jalil di sini semalam.

Pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar kelmarin Malaysia bangkit dua kali sebelum menang 3-2 ke atas Kemboja manakala Vietnam menewaskan tuan rumah 2-1.

Mengulas lanjut, Khairy berkata dua gol mudah yang diberikan kepada Kemboja tidak sepatutnya berlaku sekiranya skuad Harimau Malaysia lebih berwaspada mengawal pergerakan lawan.

Oleh itu, beliau mahu Kim Swee memperbaiki mutu permainan anak buahnya menjelang pertemuan menentang Vietnam kerana lawan itu mempamerkan rentak yang pantas semasa menentang Myanmar.

Beliau turut berharap skuad Harimau Malaysia mampu sekurang-kurangnya menyamai pencapaian pada edisi lalu dengan mara ke pentas akhir dalam kejohanan bola sepak serantau itu.

Sementara itu, skuad Harimau Malaysia tidak perlu menunggu aksi terakhir Kumpulan B berdepan tuan rumah, Myanmar pada 26 Nov ini, untuk mengesahkan slot separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016.

Pengurus skuad Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin sebaliknya mahu skuad kebangsaan menewaskan Vietnam pada aksi kedua kumpulan, Rabu ini (esok) untuk menempah tiket lebih awal ke separuh akhir edisi ke-11 kejohanan bola sepak rantau ASEAN itu.

“Untuk dua perlawanan selepas ini, saya sudah maklumkan kepada ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee agar tidak menunggu perlawanan terakhir menentang Myanmar, jadi kemenangan ke atas Vietnam jadi keutamaan kita pada masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hamidin mengakui terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki pengadil perlawanan untuk mengelak sebarang keputusan kontroversi yang akan menjejaskan kualiti kejohanan.

Beliau menjelaskan pemilihan pengadil dari enam negara berbeza untuk kejohanan kali ini diputuskan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berdasarkan pengalaman dimiliki mereka.

Pengadil dari Oman, Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah mencetuskan kontroversi pada aksi sulung antara Malaysia dan Kemboja, kelmarin.

Beliau membenarkan jaringan Chan Vathanaka pada minit keenam walaupun pemain lawan dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid ketika penjaga garisan sudah mengangkat bendera terlebih dahulu.

“Saya ingat (keputusan kontroversi) pengadil itu ada kebena r annya tetapi kita kena faham AFC putuskan untuk hanya ambil pengadil dari enam negara pada kali ini.

“Kurang persefahaman di antara pengadil itu mungkin ada juga, tapi kalau dari segi logiknya, pengadil kali ini antara yang terbaik dalam mematuhi peraturan perlawanan yang ditetapkan AFF,” tegas Hamidin. — Bernama