Kaki judi siber degil

0

12 lagi individu dicekup dalam dua operasi berasingan di Lawas.

// Oleh Jeremy Lanson //

DITAHAN: Antara 12 individu yang khusyuk bermain judi atas talian ditahan untuk siasatan lanjut.

DITAHAN: Antara 12 individu yang khusyuk bermain judi atas talian ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Operasi membanteras kegiatan perjudian atas talian (siber) terus diperkasa dengan dua lagi premis yang masih berdegil di Lawas diserbu dan 12 kaki judi termasuk dua wanita diberkas, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata, dua serbuan berasingan tersebut dilakukan sekitar jam 10 malam dan diketuai ASP Lim Jaw Shyong.

Menurutnya, serbuan ke atas sebuah bangunan kedai di Jalan Trusan, Lawas menahan lima individu dipercayai penjaga premis dan merampas wang tunai kira-kira RM3,384 dan menyita 39 unit komputer.

“Semasa serbuan pertama dilakukan, didapati 12 individu termasuk dua wanita sedang khusyuk menatap skrin komputer masing-masing dan langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis.

“Kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun termasuk dua wanita dan dua lelaki warga asing bersama tiga individu dipercayai penjaga premis turut ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala serbuan kedua, juga di bangunan yang sama telah menahan dua individu iaitu seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai penjaga premis berusia 19 dan 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, Dev dalam satu kenyataan berasingan memberitahu pihaknya berjaya melakukan 12 serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian di seluruh negeri sejak 7 hingga 13 November lalu.

Difahamkan, antara serbuan adalah membanteras kegiatan penjualan loteri haram, judi atas talian dan sabung ayam di Miri, Kuching, Sibu, Padawan, Bintulu, Limbang dan Sarikei.

“12 serbuan itu membawa kepada penangkapan 22 individu yang terlibat dalam mempromosikan loteri tanpa lesen, mengendalikan judi atas talian dan sabung ayam.

“Wang tunai berjumlah RM4,716 turut dirampas dalam serbuan-serbuan tersebut,” katanya.

Menurut Dev, individu yang ditangkap berusia dalam lingkungan 17 hingga 45 tahun di mana enam daripadanya merupakan warga asing.

“Seramai 10 daripada individu yang ditahan dipercayai terlibat dengan penjualan loteri tanpa lesen, di mana turut dirampas ialah mesin cetak mudah alih, telefon bimbit, slip dan wang tunai berjumlah RM3,905.

“Manakala dua serbuan judi atas talian dilakukan di Padawan dan Bintulu yang menyaksikan penangkapan tujuh individu dan rampasan 10 komputer serta mesin ikan yang digunakan untuk berjudi.

“Serbuan aktiviti sabung ayam di Sibu pula menyaksikan lima individu ditangkap untuk siasatan lanjut,” jelas Dev.

MESIN IKAN: Polis turut menyita beberapa mesin ikan dalam beberapa serbuan tersebut.

MESIN IKAN: Polis turut menyita beberapa mesin ikan dalam beberapa serbuan tersebut.