Kontinjen wushu Sarawak duduki tangga ke-6

0

KUCHING: Sarawak menamatkan kempen Kejohanan Wushu Milo-Kementerian Pelajaran Malaysia-Persekutuan Wushu Malaysia (Milo- KPM-WFM) Ke-6 di Pulau Pinang berakhir Ahad lalu menduduki tangga keenam.

Skuad negeri merangkul tiga pingat emas, dua perak dan enam gangsa untuk berada di belakang juara Melaka, Pullau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor.

Elvic Bong meraih emas kedua peribadi pada hari kedua dan terakhir kejohanan tersebut berlangsung di Stadium Tertutup Han Chiang High School.

Pemenang dua pingat emas pada SUKMA 2016 itu mengungguli disiplin qiangshu Lelaki A selepas mencatat 9.44 mata mengatasi atlet Melaka, Ang Qi Yue (9.08), Chang Men Da (8.91) dari Negeri Sembilan dan Hon Choon Wei (8.78) dari Labuan.

Beliau merangkul emas pertama pada Sabtu lalu selepas mencatat mata tertinggi dalam disiplin jianshu Lelaki A selain meraih perak dalam disiplin changquan Lelaki A.

Turut menyumbang emas Mok Xiao Yuan dalam disiplin taijijian Lelaki B selepas melakar 8.35 mata untuk menewaskan tujuh pencabar lain.

Mandy Lim pula mengakhiri kempen dengan gangsa dalam disiplin nangun Wanita A sebagai tambahan kepada dua gangsa dimenanginya pada Sabtu lalu dalam disiplin nanquan dan nandao Wanita A.

Manakala Stephanie Ngu mengutip 8.55 mata untuk meraih gangsa dalam disiplin qiangshu Wanita C.

Beliau turut memenangi gangsa dalam disiplin changquan Wanita C.

Atlet lain turut menyumbang gangsa ialah Mok Xiao Yuan (taijijian lelaki B).

Sementara itu, Melaka muncul juara keseluruhan dengan kutipan 24 emas, 23 perak dan 12 gangsa.