Harimau Malaysia tempuh laluan sukar ke peringkat separuh akhir

0

YANGON: Skuad Harimau Malaysia menempuh jalan sukar untuk memburu slot separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna di sini, semalam.

Sebaliknya, kemenangan kedua berturut-turut yang dilakar Vietnam itu menyaksikan mereka mengiringi juara bertahan, Thailand ke separuh akhir.

Untuk rekod, Thailand menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir selepas merekodkan kemenangan kedua dalam aksi kedua Kumpulan A, setelah mengatasi Singapura 1-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium Philippine Sports di Filipina, kelmarin.

Pada aksi di Yangon, pasukan Vietnam jelas menguasai babak awal perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus menerusi gandingan kapten pasukan, Le Cong Vinh dan Nguyen Van Quyet, namun berjaya dikekang pertahanan negara diketuai Muhd Shahrom Abdul Kalam.

Percubaan terbaik Malaysia hadir menerusi percubaan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-42 yang terus ke dakapan penjaga gol Vietnam, Tran Nguyen Manh dan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Sebaik perlawanan bersambung, Vietnam meneruskan asakan ke kubu skuad Harimau Malaysia bagi memburu jaringan pembukaan, namun dihampakan dengan kecekapan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad Harimau Malaysia hampir membuka jaringan pada minit ke-66, namun rembatan kencang Ahmad Hazwan di dalam kotak penalti, berjaya diselamatkan Nguyen Manh.

Usaha berterusan Vietnam akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Nguyen Trong Hoang menjaringkan gol pembukaan pada minit ke- 79 perlawanan.

Kedua-dua pasukan saling mengasak bagi meraih jaringan namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia perlu menewaskan tuan rumah bersama, Myanmar di venue yang sama, Sabtu ini, untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Vietnam pula akan melengkapkan aksi terakhir Kumpulan B menentang Kemboja di Stadium Wunna Theikdi, Naypyitaw pada Sabtu. — Bernama