Syor tubuh akademi golf

0

Kerajaan kenal pasti golf sukan diperkembang, lahir ramai atlet muda mampu bersaing

// Oleh Harry Ilias //

TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan hadiah kepada Ahid Bohri (kanan) sambil disaksikan Mohd Sabri. — Gambar Chimon Upon

TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan hadiah kepada Ahid Bohri (kanan) sambil disaksikan Mohd Sabri. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengesyorkan agar akademi golf ditubuhkan di sini bagi melahirkan lebih ramai atlet golf muda yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurut beliau, kerajaan telah mengenal pasti golf sebagai salah satu sukan untuk dikembangkan dalam usaha menjadikan Sarawak kuasa sukan di negara ini.

“Salah satu fokus Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang digubal oleh kerajaan ialah menjadikan Sarawak ‘sport powerhouse’ kerana kita hendak memupuk bakat dalam kalangan atlet negeri dalam bidang sukan.

“Sukan-sukan yang dikenal pasti antaranya akuatik, bola tampar, bola sepak, badminton termasuk golf.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar akademi golf ditubuhkan supaya dapat melatih pipit ini agar menjadi burung ‘kaok’ yang boleh menyaingi atlet dari Korea dan negara lain,” beliau berucap semasa majlis makan malam sempena Pertandingan Golf Amatur Bumiputera Sarawak 2016 di sini kelmarin.

Beliau turut menggesa kelab- kelab golf Bumiputera dan bukan Bumiputera memberikan input bagi memudahkan kerajaan mengkaji langkah untuk menubuh akademi dimaksudkan agar dapat mencungkil bakat baharu ke arah menjadikan Sarawak kuasa sukan tersebut.

Menteri Perumahan dan Urbanisasi itu juga mahu atlet dan pegawai terlibat dalam sukan meningkatkan lagi prestasi mereka agar dapat memperbaiki pencapaian Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Dalam hal ini, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan turut menggesa persatuan sukan mengambil jurulatih asing sebagai pendekatan untuk menaikkan prestasi sukan negeri.

“Ini selaras dengan dasar Tok Nan (Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) yang mahu kita melahirkan lebih ramai atlet berbakat dalam bidang sukan,” tambah beliau.

Menyentuh mengenai golf, Abang Johari berharap agar persatuan di sini dapat menganjurkan pertandingan antarabangsa bagi membolehkan peserta luar khususnya dari Korea datang bermain di sini ketika musim sejuk.

Jelasnya, semasa lawatan ke negara itu baru-baru ini, beliau telah menawarkan Sarawak sebagai salah satu venue pertandingan kepada pemain dari Korea dan mereka bersetuju untuk datang bermain di negeri ini.

“Dengan adanya interaksi seperti ini, kita bukan sahaja dapat merancakkan industri pelancongan Sarawak tetapi juga mengeratkan silaturahim dalam sukan,” katanya lagi.

Pada majlis sama, beliau menderma RM30,000 untuk Persatuan Golf Amatur Bumiputera Sarawak (PGABS).

Sementara itu, Ismail Puad Saat dinobatkan juara kategori Piala Kenyalang (nett) anjuran PGABS yang berlangsung pada 9 dan 10 November bertempat di Kelab Golf Sarawak (KGS).

Beliau merangkul hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala.

Tempat kedua dimenangi Ahmad Adib Ridhwan Alhisham untuk membawa pulang RM1,500, manakala Abu Bakar Mohd Suhai di tempat ketiga meraih RM1,000.

Kategori Piala Kaok dimenangi Ahid Bohri untuk merangkul RM2,000 berserta piala, manakala Yakop Jalel menduduki tempat kedua untuk menerima RM1,500 dan Sarkawi Mohamad Dora meraih tempat ketiga sekali gus menggondol RM1,000.

Sementara itu, Muhd Hizzam Mohd Jefry merangkul RM500 dan trofi selepas menjuarai kategori Piala Pipit.

Berada di tempat kedua Adam Muzaffar Abd Rahman untuk menerima RM400.

Kategori Piala Presiden (gross) menyaksikan juara dimenangi Norazle Idris untuk menggondol RM2,000.

Tempat kedua dimenangi Mohd Lokman Mustaffa untuk meraih RM1,500 dan Abdul Rahim Abg Abd Rahman di tempat ketiga untuk meraih RM1,000.

Bagi Kejohanan Golf Maal Hijrah yang diadakan pada 2 Oktober 2016 di Damai Golf & Country Club, johan dimenangi Masjid Jabal An’Nur Kapit untuk merangkul hadiah wang tunai RM3,500.

Tempat kedua disandang Masjid At Taqwa Kpg Tuei Pusa (RM3,000), ketiga Masjid Al Mujahidin Kompleks Polis (RM2,500) dan keempat Surau Nurul Hijrah Bkt Kudi (RM2,000).

Hadir sama Presiden PGABS merangkap Pengurus Besar Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Mohd Sabri Othman dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.