Arahan untuk tidak sokong Akta 355 tidak lagi terpakai

0

KUCHING: Keputusan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak untuk menyokong atau tidak pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bergantung kepada kandungan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemilihan Parlimen.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata memandang-kan semalam merupakan hanya pembentangan Rang Undang-Undang Persen-dirian oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, keputusan dan arahan sebelum ini untuk tidak menyokong adalah tidak lagi terpakai.

Keputusan itu diambil selepas penjelasan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tidak ada proses perbahasan dan pengundian dilakukan pada persida-ngan Dewan Rakyat kali ini menerusi pertemuan mereka semalam.

“Oleh kerana hari ini tidak ada pengundian atau perbahasan, semua Ahli Parlimen dari Sarawak tidak akan mengambil sikap (pendirian) apa-apa.

“Apabila perkara ini dibawa kepada jawatankuasa pemilihan bagi mengkaji perkara ini dengan membabitkan semua parti dan lepas itu kita boleh memberi keputusan muktamad menyokong atau tidak.

“Buat sementara waktu tidak ada pengundian dan perbahasan,” katanya pada sidang media bersama Zahid di Pejabat Ketua Menteri, Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Adenan sebelum ini dilaporkan memberi arahan kepada Ahli Parlimen BN dari Sarawak agar tidak menyokong pindaan itu, seperti dimaklumkan oleh Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian kepada media kelmarin.

Mengenai jika pindaan itu menjurus kepada pelaksanaan hukum hudud, Adenan menegaskan pendirian sebelum ini tetap dipegang ‘tidak ada hudud di Sarawak’.

“Timbalan Perdana Men-teri sudah menjelaskan ini (rang undang-undang) bukan hudud,” katanya.

Zahid sebelum itu menjelaskan kepada media, Rang Undang-Undang Persendirian yang dijadual dibentang Abdul Hadi semalam bukan rang undang-undang yang dibawa kerajaan.

Ini bermakna proses tersebut tidak membawa kepada pindaan, kecuali selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi membincangkan dan menjelaskan kandungan pindaan.

Sebelum itu Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dengan presiden parti-parti komponen BN.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak keliru dengan proses sebelum undang-undang tersebut dipinda.